KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- TikTok Malaysia memperluas inisiatif literasi digitalnya #ThinkTwice tahun ini dengan menyediakan akses mudah ke sumber tambahan pencegahan penipuan menerusi hab maklumat pelbagai bahasa dalam aplikasi, iklan carian, video pendek, kandungan pencipta dan beberapa siri dialog industri telah dijadualkan.
TikTok Malaysia dalam kenyataan memaklumkan hab informasi dalam aplikasi itu kini disediakan dalam lebih banyak bahasa termasuk bahasa Inggeris, bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil.
“Inisiatif ini bertujuan menyebarkan kesedaran kepada jutaan pengguna di seluruh negara menerusi pendekatan pelbagai saluran dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan agensi kerajaan utama yang lain,” menurut kenyataan itu.
Ketua Dasar Awam TikTok Malaysia Firdaus Fadzil dalam kenyataan sama berkata keselamatan dalam talian merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan usaha kolaboratif dan berterusan merentasi pelbagai kelompok masyarakat.
“Ini khususnya dalam kes penipuan kerana modus operandi penjenayah siber kian berubah. Pendidikan merupakan kunci utama dan kami berbesar hati untuk memperkasakan rakyat Malaysia dengan ilmu dan alatan untuk sama-sama menangani penipuan menerusi #ThinkTwice,” katanya.
Menurut kenyataan itu, inisiatif literasi digital TikTok menggalakkan rakyat Malaysia untuk Menilai, Mencegah dan Melindungi, dengan menilai bermaksud mengambil masa untuk menilai serta mengelak daripada melakukan kegiatan melanggar Garis Panduan Komuniti TitTok dan undang-undang tempatan.
Mencegah pula bermaksud mengambil langkah proaktif menggunakan fungsi keselamatan dan alatan daripada pihak berkuasa untuk mengenal pasti tanda meragukan manakala melindungi menyeru komuniti untuk memastikan keselamatan satu sama lain dengan melaporkan kegiatan melanggar peraturan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa berkata kebanyakan kes penipuan boleh dicegah dengan jenayah paling lazim berlaku di Malaysia ialah penipuan pelaburan, pancingan data, penipuan panggilan telefon, penipuan pekerjaan, penipuan cinta dan penipuan pinjaman.
“Terdapat alatan yang mudah diakses untuk membantu orang ramai mengesan ancaman penipuan ini, seperti portal Semak Mule PDRM. Usaha memperkukuh ekosistem pencegahan penipuan negara memerlukan penglibatan bersepadu sektor awam dan swasta.
“Sehubungan itu, sokongan TikTok dalam meningkatkan kesedaran masyarakat adalah tepat pada masanya dan sangat dihargai,” katanya.
Sementara itu, MCMC menegaskan kesedaran dan pendidikan merupakan benteng pertahanan utama terhadap penipuan kerana meskipun alatan terkini dan dasar yang kukuh penting, keupayaan untuk mengesan dan menolak taktik penipuan yang akhirnya dapat menentukan daya tahan secara kolektif.
“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan TikTok memupuk komuniti yang lebih termaklum dan peka. Menerusi kerjasama ini, kami menyasarkan untuk memperluas capaian portal pengesahan rasmi MCMC, Sebenarnya.my dan pembantu kecerdasan buatan (AI) kami, AIFA untuk membantu pengguna mengesahkan maklumat dengan pantas dan yakin,” menurut suruhanjaya itu.
TikTok memaklumkan rakyat Malaysia boleh mengakses hab maklumat itu dengan membuat carian #ThinkTwice atau menggunakan kata kunci berkaitan.
Ia melibatkan empat tonggak informasi iaitu tip pencegahan penipuan menggunakan alatan daripada agensi kerajaan utama, Garis Panduan Komuniti TikTok, ciri keselamatan TikTok dan talian bantuan daripada pihak berkuasa.
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif literasi digital #ThinkTwice oleh TikTok, sila layari hab maklumat dalam aplikasi tersebut dan akaun rasmi TikTok Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial