KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal tinggi pada tengah hari ini berikutan belian berterusan dalam kebanyakan saham mewah, diterajui oleh kaunter produk perindustrian dan perkhidmatan, kewangan dan utiliti.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 7.20 mata atau 0.44 peratus kepada 1,618.15 daripada 1,610.95 pada Isnin.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 0.87 mata kepada 1,611.82 dan turun naik antara 1,611.29 dan 1,619.11 pada sesi pagi.
Pasaran secara menyeluruh positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 478 berbanding 430. Sejumlah 476 kaunter tidak berubah, 1,231 tidak diniagakan dan 81 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.91 bilion unit bernilai RM1.21 bilion.
Menurut Maybank Investment Bank Bhd, pihaknya menjangka momentum bank-bank utama berterusan apabila Indeks Kewangan menghampiri paras melepasi purata pergerakan mudah (SMA) 200 hari.
Katanya dengan momentum kenaikan saham permodalan sederhana dan kecil mula perlahan, tumpuan kini kembali kepada saham permodalan besar dalam FBM KLCI.
“Dari segi teknikal, kami menjangka indeks petunjuk pasaran berada antara 1,600 dan 1,620 mata hari ini, dengan sokongan pada 1,550 dan 1,500 mata,” katanya dalam nota penyelidikan.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Sunway naik 22 sen kepada RM5.76, YTL Corporation meningkat 7 sen kepada RM2.78, Sime Darby menambah 10 sen kepada RM2.34, Gamuda menokok 9 sen kepada RM5.61 dan YTL Power International naik 6 sen kepada RM4.24.
Dalam dagangan aktif, NexG Bina dan Trive, masing-masing mendatar pada 9.5 sen dan 1.5 sen, Zetrix AI merosot 1 sen kepada 85 sen manakala Tanco dan TWL, masing-masing menambah 0.5 sen kepada 88.5 sen dan 3.0 sen.
Selain Sunway, kaunter paling untung termasuklah Ayer, yang meningkat 33 sen kepada RM7.50, Petronas Dagangan naik 28 sen kepada RM22.86, SAB menambah 22 sen kepada RM3.60 dan Plenitude menokok 18 sen kepada RM2.40.
Dalam kalangan kaunter paling rugi, Nestle merosot 28 sen kepada RM96.82, DLady berkurangan 22 sen kepada RM27.02, F&N menurun 20 sen kepada RM27.10 serta Hume Cement Industries dan Westports, masing-masing susut 11 sen kepada RM3.54 dan RM5.29.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 44.79 mata kepada 12,033.23, Indeks FBM 100 meningkat 44.98 mata kepada 11,768.94 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 64.78 mata kepada 12,074.42.
Indeks FBM 70 naik 32.02 mata kepada 16,815.87 manakala Indeks FBM ACE merosot 13.09 mata kepada 5,176.77.
Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.94 mata kepada 172.69, Indeks Tenaga berkurangan 2.14 mata kepada 776.12, Indeks Perladangan meningkat 37.65 mata kepada 7,809.22 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 10.95 mata kepada 18,274.84.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial