KUALA LUMPUR, Sept 25 (Bernama) -- Keuntungan bersih Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) merosot kepada RM16.39 juta pada suku kedua berakhir 31 Julai 2025 (S2 2026) berbanding RM54.71 pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Perolehan turut menyusut kepada RM683.21 juta daripada RM787.30 juta sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh hasil langganan yang lebih rendah, jualan hak pemprograman dan pendapatan pengiklanan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Euan Smith berkata walaupun prospek kekal mencabar, Astro akan terus berkembang.
“Kami akan terus meningkatkan pelanggan, mengukuhkan perniagaan sedia ada, dan mengurangkan kos warisan, semuanya sambil kekal dalam misi kami untuk menjadi destinasi hiburan dan penstriman nombor satu di Malaysia,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Bagi tempoh enam bulan tersebut, syarikat itu merekodkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM29.87 juta berbanding RM71.72 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas, diheret oleh pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang lebih rendah.
Ia sebahagiannya telah diimbangi oleh perbelanjaan cukai yang lebih rendah dan kos pembiayaan bersih yang lebih rendah, disokong oleh keuntungan pertukaran asing tidak direalisasikan yang menggalakkan daripada liabiliti pajakan tidak dilindungi.
Sementara itu, perolehan bagi separuh pertama turun kepada RM1.39 bilion, susut 11.1 peratus atau RM173.5 juta daripada RM1.56 bilion sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh penurunan dalam langganan, hasil hak pemprograman dan pengiklanan.
“Di tengah-tengah keadaan ekonomi yang mencabar dan perbelanjaan pengguna yang berhati-hati, Astro mencatatkan hasil suku tahunan sebanyak RM683 juta, dengan EBITDA berjumlah RM169 juta dan keuntungan selepas cukai, zakat dan faedah minoriti sebanyak RM16 juta.
“Syarikat akan terus menunjukkan daya tahan, kekal menjana tunai dengan aliran tunai percuma sebanyak RM138 juta bagi suku tersebut,” kata Astro.
Mengenai prospek, kumpulan hiburan dan kandungan itu mengulangi komitmenya untuk menjadi destinasi hiburan dan penstriman nombor satu di Malaysia.
Katanya, pelaburan akan kekal menjadi tumpuan pertumbuhan jangka panjang dan mampan menerusi peningkatan kandungan tempatan, mengembangkan volum dan kepelbagaian kandungan dalam peringkat yang lebih rendah serta mengurangkan harga kemasukan untuk produk Astro dan sooka.
Astro juga akan meningkatkan pengambilan perniagaan sedia ada seperti sooka, Astro Fibre, penyelesaian perusahaan, pengiklanan digital dan sosial, dan studio, sambil menyasarkan kedua-dua segmen pasaran sedia ada dan baharu dengan nilai dan fleksibiliti yang lebih besar, di samping mengubah struktur kos pewarisan bagi menyokong pertumbuhan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial