AM

Kajian Pembinaan Jambatan Hubungkan Labuan-Sabah Dijangka Siap November 2026

29/09/2025 06:13 PM

LABUAN, 29 Sept (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan menegaskan komitmen untuk merealisasikan aspirasi rakyat yang mahu melihat cadangan jambatan menghubungkan Labuan ke tanah besar Sabah menjadi kenyataan.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kontrak kajian teknikal bagi projek itu telah diberikan (kepada sebuah syarikat) pada Mei lepas dan dijangka siap November tahun depan.

“Kerajaan komited untuk melihat potensi jambatan yang dicadangkan untuk menghubungkan pulau ini ke tanah besar Sabah.

“Bagi memastikan komitmen itu direalisasikan, kami telah memberikan kontrak untuk kajian, yang kami jangka disiapkan mengikut jadual,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan ulang tahun ke-35 Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) di auditorium Sekolah Antarabangsa Labuan hari ini.

Beliau berkata kajian itu akan melibatkan pemetaan terperinci dan penilaian limpahan ekonomi serta manfaat jangka panjang jambatan itu.

“Jambatan itu adalah cara terbaik untuk mendorong pertumbuhan yang kian meningkat dan kerajaan telah menunaikan janjinya untuk memajukan (cadangan) ini," katanya.

Amir Hamzah berkata ketersambungan yang dipertingkatkan sejajar dengan keperluan pembangunan wilayah itu dan kerajaan akan memastikan langkah yang perlu diambil untuk menyokong pertumbuhan masa depan Labuan.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata kajian itu akan dijalankan oleh pasukan petugas khas di bawah jabatannya yang akan meneliti pelbagai aspek termasuk kebolehlaksanaan, kejuruteraan, alam sekitar dan implikasi kewangan.

Jambatan yang dicadangkan itu, dijangka sepanjang 17.5 kilometer, bertujuan memudahkan perjalanan antara Labuan dan Sabah sekali gus merangsang integrasi ekonomi dan sosial di wilayah itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan