AM

Projek Rintis Veteran ATM Sebagai Warden MRSM Berpotensi Diperluas Ke Seluruh Negara

29/09/2025 04:32 PM

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Projek rintis pelantikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai warden di dua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang bermula Ogos lepas, berpotensi diperluas ke seluruh negara sekiranya penilaian enam bulan pelaksanaannya menunjukkan hasil positif.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata tempoh enam bulan itu penting bagi memberi ruang kepada penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk menilai keberkesanan projek rintis berkenaan sebelum laporan penuh dibentangkan.

“Jika dapatan kajian pihak ketiga melalui penyelidik UPM menunjukkan kesan positif, saya akan menyediakan kertas cadangan untuk dibentangkan kepada Timbalan Perdana Menteri sebelum dibawa ke Jemaah Menteri.

“Daripada situ, kita akan lihat sama ada pelaksanaannya boleh diperluas ke semua MRSM malah mungkin di institusi lain yang berkaitan,” katanya pada sidang media sesi Dialog Awam Antibuli di Hotel Premiera di sini hari ini. 

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Dr Farah Nini. 

Asyraf berkata projek rintis itu bukan sahaja bertujuan menangani kes buli malah bagi mengurangkan beban guru yang sebelum ini dipertanggungjawabkan dengan tugasan di luar peranan hakiki mereka sebagai pendidik.

“Guru tidak seharusnya dibebankan dengan tanggungjawab warden kerana mereka ada tugas hakiki dan tidak mungkin mampu melakukan pemantauan berterusan. Ini kerana, insiden buli dan perlakuan tidak bermoral ini biasanya berlaku di luar waktu akademik,” katanya. 

Pada 21 Ogos lepas, Asyraf Wajdi memaklumkan kumpulan pertama bekas tentera memulakan tugas sebagai warden sepenuh masa di dua MRSM iaitu Besut dan Balik Pulau di bawah projek rintis selama enam bulan.

Dalam pada itu, beliau berkata MARA akan mewujudkan portal khas sebagai platform aduan segera bagi membolehkan pelajar membuat laporan secara terus berhubung sebarang isu atau insiden buli yang berlaku di institusi masing-masing.

"Melalui portal e-aduan kami, orang ramai boleh memberikan komen dan kritikan. Namun, bagi sistem yang lebih formal untuk membuat aduan, sudah tentu kami akan pastikan anda (pengadu) dilindungi. Itu adalah sebahagian daripada proses,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan