AM

Aspek Keselamatan Sekolah Antara Tumpuan KPM Dalam Belanjawan 2026 -- Fadhlina

29/09/2025 02:44 PM

PUTRAJAYA, 29 Sept (Bernama) -- Aspek keselamatan sekolah antara perkara yang akan diberikan tumpuan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dalam Belanjawan 2026 yang dijadual dibentangkan 10 Okt ini di Dewan Rakyat.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, selain itu, input Belanjawan 2026 turut memberi penekanan kepada pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), inisiatif sokongan antibuli, agenda digital dan teknologi, persiapan pelaksanaan Kurikulum 2027 serta pelan pembangunan pendidikan baharu.

"Ada beberapa perkara penting termasuk isu TVET yang kita akan beri tumpuan secara lebih bersasar dengan mengambil kira kepentingan, keperluan, keutamaan serta hala tuju negara ketika ini.

"Secara keseluruhannya, pembentangan, permohonan dan permintaan kita dalam Belanjawan 2026 ini sangat menyeluruh dan pastinya mempunyai sasaran tertentu untuk terus meningkatkan serta memartabatkan kualiti pendidikan negara," katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) 2025 di sini, hari ini.

Pada Belanjawan 2025, KPM menerima peruntukan sebanyak RM64.1 bilion.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata lebih 700 daripada 10,000 sekolah di seluruh negara telah diaudit setakat ini bagi memastikan aspek keselamatan berada pada tahap terbaik.

"Perjalanan itu masih jauh, tetapi perkembangan yang berlaku sangat positif dan kita akan umumkan sedikit masa lagi mengenai dapatan awal daripada audit ini," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan KPM mengarahkan Ketua Jemaah Nazir mengerah semua anggotanya menjalankan audit keselamatan sekolah dengan laporan perlu dikemukakan setiap minggu.

Langkah itu diambil sebagai sebahagian inisiatif memperkukuh aspek keselamatan di sekolah dan asrama.

Sementara itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam kenyataan hari ini memaklumkan DMK 2025 merupakan inisiatif nasional yang dilaksanakan sejak 2021 hingga 2030 dengan aspirasi #MalaysiaMembaca, bertujuan membudayakan amalan membaca dalam kalangan masyarakat serta melonjakkan kedudukan Malaysia ke tangga 20 teratas negara pembaca dunia menjelang 2030.

"DMK dilaksanakan secara kolaboratif dengan penglibatan pelbagai kementerian, agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan serta komuniti masyarakat umum. 

"Melalui usaha ini, kerajaan berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai negara membaca dan melahirkan masyarakat berilmu bertaraf dunia," menurut kenyataan itu.

DBP turut memaklumkan DMK menyasarkan peningkatan bahan bacaan rakyat Malaysia daripada purata 15 judul kepada 50 judul setahun menjelang 2030.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan