SEREMBAN, 29 Sept (Bernama) -- Kupang dan kerang-kerangan di perairan Port Dickson kini selamat dimakan selepas kandungan biotoksin pada sampel yang diambil pada 17 Sept lepas berada di bawah paras 800 per bilion (ppb), kata Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS) Kasim Tawe.
Beliau berkata pengusaha serta penternak kupang sistem pancang dan panggar di kawasan perairan dari Sungai Sekawang ke Kampung Telok di Pasir Panjang juga dibenar menjalankan aktiviti pengambilan, mengutip, mengeluar dan menuai kerang-kerangan berkuat kuasa serta-merta.
“Ia berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kes Ledakan Alga Berbahaya yang mendapati kandungan toksin Paralytic Shellfish Poisoning (PSP) pada sampel kupang yang diambil pada 17 Sept lepas berada di bawah paras 800 ppb.
“Hasil pemantauan dan keputusan ujian kandungan biotoksin dalam sampel kupang yang diambil di perairan itu mendapati ia kurang daripada 800 ppb selama hampir empat minggu berturut-turut... justeru, hidupan laut itu selamat untuk dimakan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Pada 15 Ogos lepas, JPNS mengeluarkan larangan supaya pengusaha dan penternak tidak mengutip, mengambil atau menuai kerang-kerangan di perairan Port Dickson susulan kandungan biotoksin pada sampel kupang mempunyai kandungan toksin PSP melebihi paras parameter 800 ppb.
Beliau berkata larangan itu dikeluarkan sehingga pihaknya selesai menjalankan pemantauan dan orang awam dinasihatkan untuk tidak memakan kerang-kerangan dari kawasan terbabit bagi mengelakkan risiko keracunan makanan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial