KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Rakyat Malaysia digesa memainkan peranan aktif dalam pencegahan bunuh diri, khususnya dalam kalangan ahli keluarga, sahabat, rakan sekerja dan pelajar, dengan mengenal pasti tanda amaran awal dan menawarkan sokongan tepat pada masanya.
Bercakap pada Persidangan Pencegahan Bunuh Diri 2025 semalam, Penaung Befrienders Kuala Lumpur Tan Sri Lee Lam Thye berkata bunuh diri tidak seharusnya dilihat sebagai jenayah, sebaliknya sebagai tanda kesakitan emosi dan rayuan terdesak untuk mendapat bantuan.
Beliau turut menekankan kepentingan menghapuskan stigma yang dikaitkan dengan bunuh diri dan penyakit mental, sambil menyatakan bahawa stigma itu terus menutup mulut individu dan menghalang mereka daripada mendapat bantuan.
"Bunuh diri bukanlah jenayah, tetapi tanda kesakitan emosi yang amat mendalam, teriakan meminta tolong … menghukum seseorang atas kesakitan itu hanya menambah penderitaan mereka dan menyenyapkan suara mereka. Stigma membuatkan orang berasa terasing, disalahfahami dan dihakimi," katanya.
Lee berkata langkah menyahjenayah bunuh diri di Malaysia yang diwartakan pada 10 Sept lepas bersempena dengan Hari Pencegahan Bunuh Diri, sebagai satu pencapaian penting dalam perjalanan kesihatan mental negara.
"Pencapaian ini lebih sekadar perubahan undang-undang, ia janji bahawa apabila seseorang dalam kesukaran, kita tidak akan berpaling, tidak akan menghukum, sebaliknya kita akan berkata, 'anda layak mendapat empati, anda layak mendapat sokongan dan paling penting, anda layak mendapat peluang untuk sembuh'," katanya.
Beliau berkata nyahjenayah bunuh diri menandakan perubahan penting dalam cara masyarakat bertindak balas terhadap masalah kesihatan mental dengan menggantikan rasa malu dan takut dengan belas kasihan, penjagaan dan akses kepada rawatan yang sesuai.
Menurut data Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes bunuh diri meningkat sebanyak 79 peratus, daripada 609 kes pada 2019 kepada 1,087 kes pada 2023.
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 juga mendedahkan bahawa satu juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun dan ke atas mengalami kemurungan, dengan separuh daripada mereka dilaporkan mempunyai pemikiran bunuh diri atau mencederakan diri.
Selain itu, seorang daripada enam kanak-kanak didapati berdepan masalah mental, peningkatan dua kali ganda sejak 2019.
"Di sebalik setiap angka ada wajah, kisah, dan kehidupan yang berharga … dan bagi setiap nyawa yang hilang akibat bunuh diri, ramai lagi yang ditinggalkan dalam kesedihan, tertanya-tanya sama ada sesuatu boleh dibuat secara berbeza," katanya.
Lee menegaskan bahawa usaha pencegahan bunuh diri tidak seharusnya tertumpu pada data atau strategi, tetapi pada usaha memupuk daya tahan, memulihkan harapan dan menghargai setiap kehidupan manusia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial