AM

FIFA Sudah Beri Kelulusan, Tunku Mahkota Ismail Kemuka Bukti Daripada JPN

27/09/2025 06:27 PM

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mematuhi semua proses berkaitan kesahihan status tujuh pemain warisan Harimau Malaya, titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.

Menerusi hantaran di X, baginda mempersoalkan tindakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang mengambil tindakan terhadap pemain terbabit, walaupun organisasi tersebut telah memberi kelulusan kepada ketujuh-tujuh pemain warisan itu.

“FAM dah ikut proses dan kerjasama dengan FIFA dan Kerajaan Malaysia. FIFA pun dah luluskan sebelum ini, tetapi kenapa keputusan bertukar sekarang?

“Apa yang berlaku sampai tiba-tiba ada keputusan macam ini? Adakah ada entiti luar yang terlibat mempengaruhi keputusan FIFA?,” katanya dalam hantaran tersebut.

Tunku Mahkota Ismail turut mempersoalkan mengapa FIFA bertindak pantas dalam mengeluarkan keputusan terhadap FAM dan kesemua pemain, biarpun proses rayuan belum selesai.

Selain itu, baginda turut mengemukakan bukti kenyataan saksi daripada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Badrul Hisham Alias bertarikh 19 Sept lepas, mengenai pemberian kewarganegaraan kepada tujuh pemain terlibat.

“Ini surat pengesahan daripada Jabatan Pendaftaran Negara. Tak kan kita takut dan nak tunduk dengan individu-individu yang khuatir dengan kebangkitan Harimau Malaya. Lawan tetap lawan. Berani kerana benar,” titah Tunku Mahkota Ismail.

Semalam, FAM dan tujuh pemain naturalisasi kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA kerana didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC), berkaitan pemalsuan dokumen.

Menurut kenyataan FIFA, FAM didapati menyerahkan dokumen yang dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain, membolehkan mereka diturunkan dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lepas.

FIFA memaklumkan tujuh pemain dikenakan tindakan ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui serta Hector Alejandro Hevel Serrano.

Sehubungan itu, FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) dan digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa mulai tarikh notifikasi keputusan tersebut.

Walau bagaimanapun, FAM menerusi kenyataan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan FIFA berhubung hukuman dikenakan ke atas badan induk itu serta tujuh pemain warisan negara.

Pemangku Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan pihaknya telah menerima keputusan rasmi FIFA mengenai kes berkenaan, sambil menegaskan semua dokumentasi dan prosedur berkaitan telah dikemukakan secara telus mengikut garis panduan ditetapkan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan