AM

Kehadiran Trump Buka Ruang ASEAN Tegaskan Sokongan Terhadap Palestin - Fahmi

28/09/2025 06:04 PM

SEPANG, 28 Sept (Bernama) -- Keputusan menjemput Presiden Amerika Syarikat Donald J. Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bulan depan membuka ruang kepada negara anggota blok itu untuk menyatakan pendirian mereka secara terus berhubung isu Palestin.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kehadiran Trump membolehkan negara ASEAN menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Palestin serta mengkritik sikap hipokrit sesetengah negara dalam menangani isu tersebut.

"Ada yang bertanya mengapa tidak diberikan mesej lebih jelas (sokongan terhadap Palestin) dengan tidak menjemput (Trump)?

"Sebenarnya mudah untuk kita memulaukan (Amerika Syarikat ), tetapi sikap Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam banyak perkara adalah kita memerlukan dialog," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Gerakan Sumud Nusantara di sini hari ini.

Fahmi berkata, kehadiran Trump pada sidang kemuncak yang akan berlangsung di ibu negara itu amat tepat pada masanya, khususnya ketika perspektif global sedang berubah dan semakin banyak negara menyatakan sokongan terhadap kebebasan Palestin daripada kekejaman rejim Israel.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata banyak negara telah mengadakan perbincangan hangat pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu baru-baru ini, bukan sahaja mengenai gencatan senjata, tetapi juga menuntut penghentian perang di Gaza.

"Inilah tempoh yang paling sesuai untuk kita menjemput Presiden Amerika Syarikat. Selain menyatakan pendirian Malaysia, ia turut memberi ruang kepada negara anggota lain untuk berinteraksi dan menyampaikan pandangan mereka kepada Presiden Amerika Syarikat," katanya.

Semalam, Perdana Menteri menempelak pihak yang mempertikaikan jemputan kepada Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Anwar menegaskan Malaysia akan menggunakan platform diplomasi itu untuk terus menyuarakan isu Palestin dengan tegas dalam mempertahankan kebenaran, namun dengan pendekatan berstrategi.

Selain Trump, beberapa pemimpin dunia termasuk dari Asia, Eropah, Kanada, Afrika dan Amerika Latin dijangka menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan