KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) mengecam keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menggantung tujuh pemain bola sepak Malaysia serta mengenakan denda terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), sambil menyifatkan tindakan itu sebagai tidak adil dan hipokrit.
Presiden MAHAR Jismi Johari berkata walaupun pihaknya menghormati integriti peraturan sukan, namun tidak boleh berdiam diri terhadap apa yang dilihat sebagai hipokrasi terang-terangan.
“Pengumuman pantas dan terbuka mengenai sekatan terhadap pemain kita — sedangkan FAM telah menyatakan ia akan membuat rayuan dengan alasan bertindak dengan niat baik dan FIFA sebelum ini mengesahkan kelayakan pemain berkenaan — menunjukkan adanya motif yang dipersoalkan di sebalik tindakan ini.
“Ia jelas berbeza dengan sikap berdiam diri FIFA terhadap pasukan bola sepak Israel yang terus beraksi di pentas antarabangsa meskipun terdapat bukti kukuh mengenai pembunuhan beramai-ramai serta pencabulan hak asasi manusia besar-besaran yang dilakukan kerajaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Pada Jumaat, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengenakan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain berkenaan kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berhubung pemalsuan dokumen.
Jismi berkata gesaan agar FIFA mengenakan sekatan seperti yang dikenakan terhadap Rusia selepas pencerobohan Ukraine — yang hanya mengambil masa empat hari untuk diputuskan — telah berulang kali diabaikan.
Menurutnya, sikap berdiam diri itu membuktikan prinsip FIFA tidak dipandu oleh keadilan atau nilai kemanusiaan, sebaliknya oleh kepentingan politik serta toleransi terhadap ketidakadilan serius.
“Ini bukan sekadar soal bola sepak; ia soal kemanusiaan dan prinsip asas keadilan yang sepatutnya dijunjung oleh sukan.
"Bagaimana sebuah organisasi yang mendakwa menjadi mercu tanda permainan adil boleh menutup mata terhadap genosid, tetapi menghukum pemain Malaysia kerana isu birokrasi?
“Kepantasan keputusan ini dibuat dan diumumkan, mendahului proses rayuan FAM, menimbulkan persoalan serius sama ada ini tindakan tatatertib sebenar atau bermotifkan politik. Ini adalah kegagalan moral pada tahap tertinggi,” katanya.
Beliau menegaskan MAHAR berdiri teguh bersama pemain Malaysia yang terkesan serta FAM, dan menggesa FIFA segera mengkaji semula sekatan tidak seimbang itu.
“Lebih penting lagi, kami menyeru FIFA menunjukkan kepimpinan moral sejati dengan mengambil tindakan tegas terhadap persatuan bola sepak Israel sehingga rejim itu menghentikan tindakan genosid dan mematuhi undang-undang antarabangsa.
“Kegagalan berbuat demikian hanya akan mengukuhkan reputasi FIFA sebagai organisasi yang mengutamakan kepentingan politik mengatasi nyawa manusia dan nilai yang kononnya dijunjung,” katanya.
Jismi berkata MAHAR bersama badan kemanusiaan lain serta masyarakat yang prihatin di seluruh dunia akan terus memperjuangkan penerapan peraturan antarabangsa yang adil, sama ada di dalam atau luar padang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial