AM

BUDI95: MOF, JPJ Kerjasama Selesai Segera Isu Teknikal Sebelum 30 Sept

28/09/2025 03:40 PM

BUTTERWORTH, 28 Sept (Bernama) -- Kementerian Kewangan (MOF) sedang bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk segera menyelesaikan isu teknikal berkaitan semakan kelayakan Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) sebelum pelaksanaan penuh pada 30 Sept ini.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata ini berikutan beberapa aduan diterima daripada orang ramai mendakwa tidak tersenarai sebagai penerima layak walaupun memiliki lesen memandu serta MyKad yang sah.

Beliau berkata meskipun ia kes terpencil kerana hanya melibatkan beberapa individu namun pihaknya tetap mengambil serius perkara berkenaan dan memberi jaminan masalah tersebut diselesaikan sebelum pelaksanaan penuh BUDI95 pada Selasa ini.

“Semalam memang kita ada terima beberapa aduan mengatakan mereka ada lesen dan MyKad sah, tetapi didapati tidak layak. Kementerian kini sedang berbincang dengan JPJ dan kami akan selesaikan masalah teknikal ini secepat mungkin, sebelum 30 Sept,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan BUDI95 melibatkan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di stesen minyak di Jalan Raja Uda di sini hari ini.

Justeru beliau menggesa orang ramai supaya menyemak profil kelayakan di laman sesawang https://www.budimadani.gov.my/, dan bagi mereka yang menghadapi masalah diminta membuat aduan bagi membolehkan siasatan serta tindakan lanjut dijalankan segera.

Lim berkata selain pusat khidmat aduan, orang ramai juga boleh menghubungi talian 1300-88-9595 dengan memberikan maklumat berkaitan seperti nama, nombor kad pengenalan dan lesen memandu sah bagi tujuan pengesahan serta tindakan susulan.

“Di sini saya ingin tegaskan bahawa selagi individu itu adalah rakyat Malaysia yang layak, mereka berhak 100 peratus untuk menikmati manfaat BUDI95. Mungkin ada sedikit kelewatan atau gangguan teknikal di sana sini, tetapi kita akan pastikan isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, menjelang pelaksanaan penuh BUDI95 pada 30 Sept ini, beliau menasihati orang ramai supaya bertenang dan membuat pembelian seperti biasa.

Lim berkata tiada keperluan untuk tergesa-gesa kerana setiap individu yang layak telah ditetapkan had sebanyak 300 liter sebulan dan pembelian boleh dibuat pada bila-bila masa sepanjang tempoh tersebut mengikut keperluan masing-masing.

Terdahulu, beliau memaklumkan pelaksanaan BUDI95 melibatkan penerima STR sebagai kumpulan kedua menikmati inisiatif itu bermula hari ini berjalan lancar di seluruh negara tanpa sebarang aduan diterima daripada pengguna.

“Memang semuanya sudah siap sedia. Tadi kita pun sudah cuba dengan pelbagai kaedah iaitu aplikasi Setel (Petronas), tunai serta e-dompet Touch ‘n Go dan semuanya berjalan lancar. 

MOF memaklumkan sejak 25 Sept lepas, sebanyak 8.1 juta pengguna telah membuat semakan kelayakan melalui laman web rasmi www.budimadani.gov.my, sekali gus menunjukkan sambutan amat menggalakkan daripada rakyat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan