SHAH ALAM, 28 Sept (Bernama) -- Edisi ke-10 RHB LEKAS Highway Ride yang dijadual berlangsung pada 11 Okt bakal menghimpunkan lebih 6,000 peserta dari 23 negara, sekali gus meraikan semangat kecintaan terhadap aktiviti berbasikal berasaskan ketahanan, kepelbagaian dan kebersamaan di lebuh raya tertutup.
Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group Datuk Mohd Rashid Mohamad, berkata kepelbagaian peserta menyerlahkan peningkatan populariti acara itu serta keupayaannya menyatukan penggemar berbasikal dari seluruh dunia.
Beliau berkata edisi ke-10 acara berbasikal yang amat dinanti-nantikan itu direka untuk dinikmati oleh pelbagai generasi, dengan menawarkan pengalaman berbasikal yang selamat bersama keluarga dan rakan di lebuh raya tertutup.
“Tahun lalu, kami memperkenalkan jarak kayuhan 105 kilometer (km) berbanding 120 km, membolehkan peserta menamatkan cabaran dengan lebih cepat dan seterusnya menikmati aktiviti malam bersama keluarga serta rakan. Memandangkan jarak ini mendapat sambutan, kami mengekalkannya untuk tahun ini,” katanya kepada Bernama.
Acara itu turut menyediakan kategori jarak 12 km untuk peserta muda berusia 10 hingga 12 tahun, dan kategori 17 km untuk peserta berusia 13 tahun ke atas, sekali gus membolehkan keluarga serta rakan bersama-sama menyertai cabaran berbasikal tanpa mengira usia. Pelbagai hiburan, gerai permainan serta kios makanan dan minuman juga akan disediakan.
Mohd Rashid menambah bahawa pemegang kad RHB menikmati keistimewaan pendaftaran awal khas selama sehari dengan ganjaran pulangan tunai, termasuk potongan sehingga 50 peratus yuran pendaftaran bagi 50 pemegang kad terawal (dihadkan RM100 setiap transaksi), serta potongan sehingga 10 peratus untuk 500 pemegang kad berikutnya (dihadkan RM20 setiap transaksi).
Beliau menegaskan bahawa RHB bukan sekadar penyedia perkhidmatan kewangan, sebaliknya turut menumpukan usaha mencipta pengalaman bermakna. RHB LEKAS Highway Ride bertujuan mempromosikan kesejahteraan mental dan fizikal di samping memupuk keterangkuman, apabila peserta menjadi sebahagian daripada komuniti besar yang menyokong gaya hidup sihat dan aktif.
“Sebagai rakan perkhidmatan kewangan yang bertanggungjawab, kami memainkan peranan penting menggalakkan keluarga dan komuniti menyertai aktiviti luar yang dapat memperkukuh hubungan di samping mengamalkan gaya hidup sihat. Pada masa sama, acara ini juga memberi keterujaan kepada peserta serta ruang untuk mencabar keupayaan diri mereka.
“Kami berasa teruja kerana berjaya mencapai pencapaian penting ini. Pasukan kami sedang membuat persiapan rapi untuk memastikan acara pada 11 Okt ini benar-benar meninggalkan pengalaman bermakna buat semua peserta. Nantikan pelbagai pengisian menarik menjelang sambutan edisi ke-10 acara ini,” katanya.
Beliau turut menggalakkan peserta RHB LEKAS Highway Ride agar menikmati pengalaman berbasikal, bergembira serta sentiasa mengutamakan keselamatan sepanjang acara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial