KUCHING, 28 Sept (Bernama) -- Inisiatif Cashless Society Sarawak dapat memberikan momentum kukuh kepada agenda memperkasakan ekonomi komuniti setempat, terutama peniaga sektor peruncitan untuk memperluas penguasaan dalam landskap ekonomi digital yang kian berkembang.
Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee berkata seperti yang sering ditekankan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, transformasi digital merupakan tunjang utama dalam menjayakan Strategi Pembangunan Pasca-COVID 2030 (PCDS 2030) bermatlamat menjadikan Sarawak negeri maju menjelang tahun 2030.
Beliau berkata antara teras penting dalam strategi tersebut ialah memperkasakan ekonomi digital bagi melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing serta membuka peluang pekerjaan baharu kepada generasi muda.
“Inisiatif pembayaran tanpa tunai hari ini adalah sebahagian daripada ekosistem ekonomi digital Sarawak, ia memodenkan cara berniaga, membentuk gaya hidup yang lebih efisien dan selamat, serta memastikan komuniti luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Cashless Carnival Sarawak di Kampung Gedong di sini, hari ini. Turut hadir Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Wilayah Sarawak Adiman Ajem.
Rodiyah berkata pembayaran tanpa tunai amat membantu peniaga kecil yang sebelum ini terpaksa menyimpan wang tunai, berisko kehilangan dan kesukaran mengira baki, namun kini transaksi terus dimasukkan ke dalam akaun bank dengan lebih selamat, mudah dan cepat.
Selain itu, Rodiyah berkata ramai peniaga di sekitar Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Gedong, telah mula beroperasi secara tanpa tunai dan ia merupakan satu pencapaian membanggakan dalam perjalanan transformasi digital negeri.
Beliau menyeru peniaga di Gedong agar mengambil peluang mendaftar bersama rakan strategik seperti S Pay Global, Bank Negara, Maybank, Bank Islam, TM UNIFI, BSN, AKPK, Aeon Bank dan toyyibPay.
“Dengan kerjasama erat antara kerajaan, MCMC, rakan strategik, Pengurus NADI serta para usahawan, masyarakat kampung, saya yakin Gedong mampu menjadi contoh komuniti luar bandar yang berjaya menggunakan teknologi moden,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial