AM

Pelancongan Perlu Jadi Penggerak Kemampanan - UN Tourism

28/09/2025 12:53 PM

MELAKA, Sept 28 (Bernama) -- Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) ke-7 yang diadakan bersempena dengan Hari Pelancongan Sedunia 2025 di sini menandakan detik penting dalam memajukan sektor pelancongan sebagai pemangkin kepada perubahan positif, ketahanan serta pembangunan mampan di peringkat global.

Organisasi Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Tourism) memaklumkan dengan mengangkat tema Tourism and Sustainable Transformation, persidangan antarabangsa itu menekankan kepentingan sektor berkenaan apabila pemimpin, pembuat dasar, pakar industri dan komuniti tempatan berganding bahu membentuk masa depan lebih mampan.

Dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama UN Tourism, acara berprestij itu menampilkan kekayaan warisan budaya, keindahan alam semula jadi serta komitmen Malaysia terhadap pelancongan mampan.

Dalam perutusan rasminya, Setiausaha Agung PBB António Guterres menyifatkan pelancongan sebagai “pemacu utama transformasi” yang mampu menyediakan peluang pekerjaan, merancakkan ekonomi dan menghubungkan budaya.

“Namun, ia mesti besifat mampan bagi melindungi destinasi dan komuniti yang diraikan. Marilah kita memanfaatkan pelancongan sebagai daya penggerak ketahanan, kemampanan dan kemajuan bersama,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, sambutan Hari Pelancongan Sedunia di Melaka menampilkan pelbagai aktiviti termasuk sesi perbincangan panel peringkat tinggi dan persembahan budaya yang menumpukan kepada amalan mampan serta strategi memperkukuh ketahanan industri.

Antara bidang utama diberi penekanan ialah pelaburan dalam pendidikan dan kemahiran, mempercepatkan inovasi serta transformasi digital, menyokong ekonomi tempatan dan memperkukuh pertukaran budaya.

“WTC turut menyediakan platform bersepadu kepada pemegang taruh untuk membincangkan strategi pembangunan pelancongan mampan dengan memberi tumpuan kepada aspek ketahanan, keterangkuman dan pemeliharaan alam sekitar.

“Sesi utama membincangkan transformasi digital dalam pelancongan, model pelancongan berasaskan komuniti serta penyelesaian perjalanan neutral iklim, selaras dengan tema Tourism and Sustainable Transformation,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan