MELAKA, 27 Sept (Bernama) -- Pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dengan anggota polis dan tentera menjadi kumpulan pertama menikmati subsidi petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter hari ini, merupakan tanda pengiktirafan kerajaan terhadap peranan mereka menjaga keselamatan negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu, bukan sahaja menunaikan janji kerajaan untuk menurunkan harga minyak, malah membuktikan kebajikan rakyat sentiasa diutamakan dalam kerangka dasar MADANI.
“Negara ini aman dan selamat kerana adanya pengorbanan pasukan keselamatan. Bila aman, pelabur dan pelancong datang. Sebab itu kerajaan mulakan pelaksanaan BUDI MADANI RON95 dengan polis dan tentera,” kata beliau berucap pada Sambutan 27 Reformasi, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh.
Bermula tengah malam tadi, sebanyak 300,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia menjadi kumpulan pertama menikmati subsidi petrol pada harga RM1.99 seliter, selaras pengumuman Perdana Menteri pada 22 Sept.
Dalam pada itu, Anwar berkata dasar ekonomi negara perlu diseimbangkan dengan kebajikan rakyat dan tidak hanya bergantung pada teori ekonomi semata-mata.
Beliau berkata pelbagai langkah kebajikan telah dilaksanakan, termasuk penyaluran puluhan bilion ringgit melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta kenaikan gaji penjawat awam secara berperingkat bagi memastikan kehidupan rakyat lebih sejahtera.
“Perjuangan kita bukan retorik. Reformasi mesti dizahirkan dengan tindakan nyata membantu rakyat miskin, meningkatkan taraf hidup dan memastikan kekayaan negara diagih secara adil,” kata beliau.
Perdana Menteri turut menegaskan kejayaan negara tidak hanya bergantung kepada pertumbuhan ekonomi, tetapi juga pada kemampuan membina masyarakat yang bersatu padu, berakhlak dan berintegriti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial