MELAKA, 27 Sept (Bernama) -- Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) bukan sekadar menyambut kedatangan pelancong, sebaliknya memberikan dunia satu sebab untuk mengingati Malaysia, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
Beliau berkata kempen itu bertujuan membina kebanggaan dan kemakmuran untuk rakyat, di samping meninggalkan legasi perpaduan, ketahanan serta visi untuk generasi akan datang.
“Pelancongan bukan semata-mata soal angka. Ia tentang bagaimana kita menjadikan warisan sebagai kekuatan, bagaimana kita menjadikan pelancongan sebagai ekonomi rakyat dan bagaimana kita membina Malaysia sebagai jenama yang diingati dunia dengan penuh kebanggaan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran TMM2026 di Klebang di sini hari ini.
Terdahulu, majlis berkenaan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia dan Persidangan Pelancongan Dunia.
Turut hadir Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Tiong berkata kepelbagaian budaya, tradisi, masakan serta masyarakat di Malaysia kekal sebagai tarikan utama, sambil menambah kementerian itu komited memperkukuh usaha promosi dengan kreativiti dan dedikasi.
“Dari segi warisan, TMM2026 akan menampilkan Malaysia sebagai negara yang tidak meninggalkan sejarah tetapi terus menjadikannya asas membentuk masa depan. Sebagai contoh, pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) terhadap projek penghijauan semula Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) membuktikan warisan negara merangkumi budaya dan alam semula jadi,” katanya.
Beliau turut menegaskan pelancongan perlu membawa manfaat kepada komuniti akar umbi, daripada inap desa di luar bandar dan penggiat seni kraf tangan hingga kepada penjaja, restoran serta usahawan muda.
“Malaysia Truly Asia akan sentiasa kekal dalam DNA kita tetapi hari ini dunia mencari destinasi yang mampan, inklusif dan inovatif. Justeru, Malaysia mesti membuktikan kita bukan sekadar pulau dan bandar warisan, tetapi juga sebuah negara hijau, pintar dan mesra,” katanya.
Tiong turut menyatakan pelancongan tidak dapat dipisahkan daripada cabaran global seperti perubahan iklim dan ketidaktentuan geopolitik, sebaliknya boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian dengan mengukuhkan persefahaman antarabangsa, membuka pasaran baharu dan menyokong kelestarian.
“MOTAC telah mula melaksanakan langkah-langkah melalui misi jualan global, kerjasama serantau, inovasi digital serta projek rintis pelancongan berasaskan komuniti.
“Kejayaan sebenar hanya akan dapat diukur pada 2026, apabila rakyat Malaysia daripada semua lapisan berkata kempen ini membawa manfaat kepada komuniti saya dan negara saya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial