MELAKA, 27 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak tuduhan tidak berasas bahawa Kerajaan MADANI menentang Islam, sebaliknya menegaskan bahawa pihak lawan sengaja memperalatkan isu agama demi kepentingan politik.
Berucap pada sambutan ulang tahun ke-27 Reformasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, Anwar menyelar sikap segelintir pemimpin pembangkang, yang menggunakan agama sebagai topeng untuk menyerang kerajaan dengan kata-kata kesat dan tuduhan liar.
“Saya jarang komen tentang orang, tapi bila dengar seorang Ahli Parlimen kata ‘maruah kita sudah rosak’, saya hendak tanya, masa mereka perintah dulu, PAS bersama kerajaan, judi ditambah atau tidak? Jangan bercakap ikut nafsu, berlapik dengan agama tetapi hakikatnya bercanggah,” kata beliau.
Anwar berkata jika teguran dibuat dengan niat baik untuk memperbaiki akhlak selaras dengan gagasan MADANI, beliau bersedia menerimanya, namun menolak jika kerajaan dituduh sebagai anti-Islam.
“Di mana kita menentang Islam? Peruntukan untuk Islam kita tambah, maahad tahfiz kita bantu, anak-anak huffaz kita bawa ke institut Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta diberi latihan,” kata Perdana Menteri.
Turut hadir Pengerusi MPN PKR Melaka Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh.
Dalam pada itu, Anwar turut membandingkan rekod pentadbiran Perikatan Nasional (PN) yang menurutnya gagal memperkukuh agenda Islam, malah menambah lesen khas nombor ramalan.
“Bandingkan kerajaan MADANI dengan PN. Program Islam apa mereka buat di Kementerian Pendidikan? Judi mereka tambah sampai 22 kali cabutan. Tapi PAS tidak wajar kritik kerana ketika mereka dalam kerajaan, merekalah yang menaikkan jumlah itu,” kata beliau.
Anwar berkata perjuangan Reformasi sejak dahulu mengajar rakyat berani menegur menggunakan fakta, bukan melabel orang sebagai kafir atau munafik tanpa bukti.
“Kita ajar keberanian untuk sanggah rasuah, bukan guna agama untuk menipu rakyat,” kata beliau sambil menekankan bahawa kerajaan MADANI akan terus menzahirkan nilai Islam menerusi pentadbiran yang bersih, adil dan membela rakyat.
Menyentuh mengenai aspek integriti, Anwar berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi kebebasan penuh untuk bertindak tanpa campur tangan politik.
“Kalau ada menteri, timbalan menteri atau sesiapa sahaja dalam kerajaan ini terlibat rasuah, kita tidak akan lindungi. Harta yang dicuri mesti dipulangkan kepada rakyat,” kata beliau.
Selain itu, Perdana Menteri berkata kerajaan akan terus memperkukuh perpaduan dengan menolak politik kebencian perkauman, serta memastikan pembangunan seimbang di Semenanjung, Sabah dan Sarawak termasuk menaik taraf sekolah daif serta mempercepat projek infrastruktur asas.
Anwar berkata pelaburan strategik terutama dalam sektor semikonduktor di Pulau Pinang, Sarawak dan Sabah akan dipacu, seiring dengan usaha Malaysia menjadi pemain utama dalam teknologi baharu.
“Negara ini mesti dipimpin dengan tekad, kerja keras dan amanah, bukan dengan retorik atau kebencian. Malaysia MADANI adalah untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum dan agama,” kata beliau.
Terdahulu Anwar merasmikan ibu pejabat Majlis Pimpinan Negeri PKR Melaka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial