KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Polis menahan seorang pemandu lori bagi membantu siasatan kes kemalangan yang mengakibatkan kematian seorang bayi lelaki berusia setahun dan mencederakan tujuh individu di Plaza Tol Bukit Kajang, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan membabitkan empat kenderaan iaitu sebuah lori, sebuah kereta dan dua kenderaan utiliti sukan itu pada 10.50 pagi.
Beliau berkata siasatan awal mendapati lori yang membawa muatan besi skrap dari arah Semenyih ke Putrajaya itu mengalami masalah kegagalan brek sehingga menyebabkan pemandu gagal mengawal kenderaan seterusnya melanggar tiga kenderaan lain yang menuju lorong di plaza tol terbabit.
“Akibat kejadian itu, seorang bayi lelaki berusia setahun meninggal dunia di tempat kejadian dan tujuh lagi mangsa menerima rawatan di Hospital Kajang, Serdang dan KPJ Kajang,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.
Naazron berkata semakan mendapati pemandu lori berusia 42 tahun itu mempunyai tiga rekod jenayah melibatkan kes jenayah dan dadah serta empat saman lampau membabitkan kesalahan kemalangan pada 2013 dan 2016.
Katanya ujian saringan air kencing terhadap lelaki terbabit negatif dadah serta alkohol dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berdekatan atau Penolong Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kajang Insp Mohd Raziman Rasid di talian 019-4565502 bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial