Daripada Muhammad Faiz Baharin
NEW YORK, 28 Sept (Bernama) -- ASEAN mesti meneruskan usaha untuk memulihkan kredibiliti Konsensus Lima Perkara di samping memupuk keselamatan dan kestabilan di Myanmar.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ASEAN amat kecewa apabila gencatan senjata yang dipersetujui di Myanmar telah dicabuli di beberapa kawasan, manakala keganasan terus membahayakan orang awam.
“Mereka yang berkuasa mempunyai tanggungjawab untuk mengingati bahawa Myanmar adalah sebahagian daripada rantau, bukan negara terpencil.
“Terdapat masa depan yang cerah dan selamat untuk semua rakyat kita jika kita bekerjasama dengan penuh keikhlasan ke arah penyelesaian krisis di negara itu yang dipimpin dan dimiliki oleh rakyat Myanmar sendiri,” katanya.
Mohamad berkata demikian ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di ibu pejabat PBB di sini pada Sabtu.
Menurut Mohamad, ASEAN akan terus memainkan peranan penting sebagai sebuah blok serantau dalam memastikan keamanan, memperkukuh keselamatan, meningkatkan daya tahan ekonomi dan memajukan matlamat kemampanan di seluruh rantau ini.
Sebagai pengerusi ASEAN pada 2025, Mohamad berkata Malaysia juga menyedari betapa besar usaha yang diperlukan untuk mencapai keamanan.
“Apabila konflik kian memuncak di antara jiran kita, ASEAN tidak berdiam diri. Kita tampil, mempertemukan kedua-dua pihak di Malaysia dan melaksanakan gencatan senjata – satu langkah yang kini dipastikan ASEAN terus berakar umbi melalui pemantauan aktif di lapangan.
“Ya, cabaran tetap ada. Tetapi mesej kita jelas – ASEAN akan kekal di meja rundingan, menggesa kedua-dua negara menghormati komitmen mereka.
"Tiada konflik, sama ada antara negara atau dalam negara, yang berbaloi untuk mempertaruhkan kestabilan rumah kita,” katanya.
Beliau berkata menjadi satu penghormatan, dan pada masa sama tugas terbesar Malaysia untuk menangani cabaran Asia Tenggara tahun ini.
Mohamad berkata blok serantau yang merangkumi 10 negara anggota itu telah menerima perubahan, memperluas keanggotaan dan giat berinteraksi dengan dunia sepanjang 58 tahun lalu, sambil kekal komited menangani cabaran dalaman mahupun cabaran yang muncul dari luar rantau.
Mohamad turut menegaskan Laut China Selatan tidak boleh dijadikan alat dalam persaingan strategik.
“Asia Tenggara dan perairannya tidak boleh sekali lagi menjadi pentas persaingan kuasa besar.
"Oleh itu, kami menggesa semua pihak agar mematuhi sepenuhnya UNCLOS (Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut), serta mengelak daripada sebarang tindakan yang boleh mencetuskan salah perhitungan atau konflik di perairan yang kita kongsi bersama,” katanya.
Dalam ucapannya, Mohamad turut menekankan bahawa Malaysia akan terus memperjuangkan hak dan keperluan negara-negara Selatan Global secara keseluruhan.
Beliau berkata negara-negara Selatan Global sekian lama menanggung beban dasar ekonomi yang tidak seimbang, yang meminggirkan negara membangun dan menghalang mereka daripada mengambil bahagian secara adil dalam ekonomi global.
Ia juga berdepan jurang pembiayaan yang besar untuk pembangunan mampan, meskipun menjadi tempat tinggal bagi populasi paling terdedah di dunia, tegas beliau.
“Ironinya amat menyakitkan, kita merupakan majoriti dunia namun kekal kurang diwakili dalam membuat keputusan, kurang dilayani dalam pembiayaan pembangunan dan diketepikan dalam tadbir urus global.
"Ketidakseimbangan ini mesti diperbetulkan. Suara, keperluan dan aspirasi Selatan Global bukanlah perkara sampingan,” katanya.
Mohamad berkata suatu tatanan antarabangsa yang lebih adil tidak mungkin dapat dibina tanpa meletakkan Selatan Global di tengah-tengahnya, sambil menambah Malaysia akan terus memperjuangkan maruah, kesaksamaan dan peluang untuk semua negara membangun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial