DUNIA

UNGA80: UNCTAD Gesa Pemimpin Rendahkan Kos Hutang, Stabilkan Perdagangan, Buka Pelaburan

27/09/2025 10:51 PM

NEW YORK, 27 Sept (Bernama-WAM) -- Setiausaha Agung Pertubuhan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD), Rebeca Grynspan, memberi amaran bahawa ekonomi dunia kini berada di persimpangan dengan tarif yang semakin meningkat, bayaran hutang mencatat rekod dan rasa tidak percaya yang kian menebal mengekang pembangunan.

Menurut Agensi Berita Emiriah (WAM), Grynspan menggesa para pemimpin yang berhimpun bagi sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA80) agar menurunkan kos hutang, menstabilkan perdagangan, merancakkan pelaburan dan mendukung  transformasi digital.

Berucap sempena minggu peringkat tinggi UNGA80, Grynspan berkata ekonomi global kini “sedang dibentuk semula di bawah tekanan”, dengan negara termiskin menanggung kos paling besar.

Tarif yang dikenakan oleh ekonomi utama, termasuk Amerika Syarikat, meningkat tahun ini daripada purata 2.8 peratus kepada lebih 20 peratus. “Ketidaktentuan ialah tarif paling tinggi,” kata Grynspan. “Ia melemahkan pelaburan, memperlahankan pertumbuhan dan menjadikan perdagangan sebagai laluan pembangunan semakin sukar.”

Isu hutang turut menjadi tema utama UNGA80. Negara membangun membayar rekod US$921 bilion dalam bentuk faedah pada 2024, manakala 3.4 bilion orang kini tinggal di negara yang membelanjakan lebih banyak untuk perkhidmatan hutang berbanding kesihatan atau pendidikan.

“Ini bukan krisis hutang, ini krisis pembangunan,” kata Grynspan kepada para perwakilan. “Pasaran tidak dalam krisis – tetapi rakyat yang menderita.”

Lebih 50 ekonomi membangun memperuntukkan sekurang-kurangnya 10 peratus hasil cukai mereka untuk bayaran faedah, meninggalkan hanya sedikit baki untuk sekolah, hospital atau infrastruktur. Kerajaan dipaksa membuat pilihan mustahil: “ingkar terhadap pemiutang atau ingkar terhadap rakyat mereka,” katanya.

Ekonomi digital pula sedang berkembang pesat. Pada 2023, ekonomi membangun melepasi paras US$1 trilion dalam eksport perkhidmatan digital, sebahagian daripada pasaran global bernilai US$4.5 trilion. Kecerdasan buatan sahaja dijangka berkembang 25 kali ganda dalam tempoh sedekad akan datang, yang bakal mengubah landskap perdagangan, pekerjaan dan inovasi.

Namun manfaatnya masih tidak seimbang. Di negara paling kurang membangun, hanya sepertiga penduduk mempunyai akses internet dan perkhidmatan digital menyumbang hanya 20 peratus daripada eksport. UNCTAD menyeru pelaburan dalam infrastruktur, data dan kemahiran, di samping inisiatif global supaya transformasi digital menjadi pemacu pembangunan, bukan menjadi jurang.

Melihat ke hadapan, Grynspan menyifatkan konteks global hari ini sebagai “momen peralihan” di mana hasil bergantung kepada pilihan para pemimpin. Kehadiran lebih 150 ketua negara dan ketua kerajaan di UNGA80 membuktikan multilateralisme masih wujud. Pesannya: Multipolarit harus memperluas pusat, bukan menggantikannya – lebih banyak suara menjadikan sistem lebih kukuh.

-- BERNAMA-WAM

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan