EKONOMI

Malaysia Giat Bincang Isu Tarif Berkaitan Perabot Dengan AS - Tengku Zafrul

26/09/2025 06:30 PM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Malaysia sedang giat mengadakan perbincangan dengan Amerika Syarikat (AS) dalam isu tarif, terutamanya berkaitan produk perabot, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Menerusi temu bual eksklusif bersama Bernama, di sini, hari ini, beliau berkata perbincangan dengan pegawai AS sedang berlangsung termasuk dengan syarikat perabot Malaysia yang bakal terjejas akibat langkah tarif yang diumumkan baru-baru ini.

Pada Khamis, Presiden AS Donald Trump, menerusi akaun media sosial Truth Socialnya mengumumkan negara itu akan mengenakan tarif 100 peratus ke atas mana-mana produk farmaseutikal berjenama atau dipatenkan, melainkan syarikat itu membina kilang pembuatan farmaseutikalnya di Amerika.

Selain itu, Washington akan mengenakan tarif 50 peratus ke atas semua kabinet dapur, kelengkapan bilik mandi dan produk berkaitan, serta tarif 30 peratus ke atas perabot fabrik atau kulit.

AS juga berkata ia akan mengenakan tarif 25 peratus ke atas semua "trak berat atau besar" yang dikeluarkan di negara-negara lain di dunia. Tarif tersebut akan berkuat kuasa 1 Okt, 2025.

Tengku Zafrul berkata, Malaysia bukan satu-satunya negara yang terkesan ekoran tarif itu malah seluruh dunia dikenakan kadar yang sama.

“Oleh itu kita perlu menerima hakikat bahawa negara seperti AS dan lain-lain mempunyai pertimbangan mereka sendiri mengenai politik dan ekonomi mereka masing-masing,” katanya di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan mesyuarat berkaitan yang berakhir hari ini.

Tengku Zafrul menegaskan Malaysia perlu terus fokus meningkatkan daya saing dan daya tahan negara. 

"Malaysia perlu terus melihat bagaimana kita boleh mengukuhkan asas ekonomi kita supaya kita kekal berdaya saing, tanpa mengambil kira tindakan dasar yang diambil negara lain," katanya.

AS merupakan destinasi eksport terbesar bagi perabot buatan Malaysia.

Menurut Majlis Perkayuan Malaysia, eksport perabot kayu ke AS mencecah RM5.71 bilion tahun lepas, menyumbang 57.8 peratus daripada jumlah eksport perabot kayu Malaysia.

Beliau menjelaskan mengenai tarif timbal balik bagi produk semikonduktor dan farmaseutikal, yang tertakluk di bawah Seksyen 232 Akta Perluasan Perdagangan 1962, yang mana berbeza daripada perjanjian dalam perdagangan timbal balik.

"Jadi itu pada sektoral. Kita membicarakan tentang garis dasar yang umum. Jadi, Seksyen 232 itu adalah berasingan daripada perjanjian," katanya.

Malaysia dan AS dijangka menandatangani perjanjian perdagangan timbal balik antara kedua-dua negara dan bakal disaksikan oleh Trump dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di sini pada akhir Oktober.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan