JENAYAH & MAHKAMAH

Dua Beranak Maut Motosikal Langgar Tiang Elektrik Di Pantai Remis

27/09/2025 08:55 PM

IPOH, 27 Sept (Bernama) -- Seorang wanita dan anak lelakinya maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar tiang elektrik di Jalan Huntly, Kampung Sungai Batu, dekat Pantai Remis tengah malam tadi.  

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Hasbullah Abd Rahman berkata dalam kejadian kira-kira 12.45 tengah malam itu, mangsa yang berusia 33 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

“Kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah pekan Pantai Remis menuju ke Kampung Sungai Batu apabila motosikal jenis Honda Vario yang ditunggang (wanita itu) hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar tiang Tenaga Nasional Berhad (TNB). 

"Anak lelaki mangsa yang berusia 10 tahun turut mengalami kecederaan dan dikejarkan ke klinik berhampiran namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Nur Syafiqah Baharudin dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 05-6899072.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan