AM

PDRM Hargai Pelaksanaan BUDI95, Bukti Kerajaan Prihatin - KPN

27/09/2025 02:05 PM

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakamkan penghargaan kepada kerajaan MADANI atas pelaksanaan inisiatif subsidi petrol BUDI MADANI RON 95 (BUDI95) yang bermula hari ini.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata langkah itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan negara, khususnya melalui sokongan bersepadu kepada PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“PDRM yakin inisiatif ini akan memberi nilai tambah kepada keberkesanan operasi serta memperkukuh kerjasama strategik antara agensi keselamatan demi kesejahteraan rakyat dan kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kira-kira 300,000 anggota tentera dan polis merupakan kumpulan pertama menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 sen seliter di bawah inisiatif BUDI95 berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter, berikutan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 Sept lepas.

Inisiatif BUDI95 akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) mula menikmatinya esok, sebelum diperluas kepada warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif mulai 30 Sept ini.

Melalui inisiatif itu, rakyat Malaysia layak membeli hingga 300 liter petrol RON95 sebulan pada kadar RM1.99 seliter.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan