AM

Pintas Utama Sumbang 20 Komputer Riba, Perkasa Pendidikan Asnaf

27/09/2025 08:12 PM

KUANTAN, 27 Sept (Bernama) -- Pintas Utama hari ini menyumbang 20 unit komputer riba bernilai RM50,000 dalam Program Penyampaian Komputer Riba kepada Keluarga Asnaf anjuran Pertubuhan Kebajikan Keluarga Istimewa (PPKI) Pahang.

Pintas Utama dalam kenyataan memaklumkan sumbangan itu diberikan kepada pelajar asnaf yang sedang dan bakal melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT), sebagai satu daripada inisiatif untuk memberikan mereka akses pendidikan digital yang lebih baik serta menyokong kecemerlangan akademik.

Program yang berlangsung di Pusat Komuniti MADANI Indera Mahkota itu dirasmikan Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi. 

Ketua Pegawai Eksekutif Pintas Utama Datuk Ir Marhalim Mohamed berkata sumbangan itu adalah usaha kecil pihak syarikat dalam memperkasakan generasi muda yang bakal menjadi pelapis pembangunan ekonomi negara suatu hari nanti. 

“Kami percaya pendidikan adalah kunci kepada masa depan yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan sama. 

Marhalim berkata Pintas Utama tidak hanya menumpukan perhatian dalam kerja pembaikan cerun dan infrastruktur, malah turut berusaha meningkatkan taraf hidup golongan memerlukan melalui tanggungjawab sosial korporat syarikat.

Selain itu, Pintas Utama memaklumkan syarikat berkenaan juga sedang giat menjalankan kerja-kerja pembaikan cerun di sekitar Pahang serta bersiap siaga akan risiko tanah runtuh ketika musim Monsun Timur Laut. 

“Usaha ini penting bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta kelancaran jaringan infrastruktur negeri sentiasa terjamin. 

“Pintas Utama tidak hanya berperanan sebagai peneraju dalam sektor pembinaan tetapi juga rakan strategik dalam pembangunan sosial, pendidikan dan kesejahteraan komuniti di seluruh negara,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan