AM

Mudah Dan Cepat, Anggota Keselamatan Kongsi Pengalaman Pelaksanaan BUDI95

27/09/2025 04:20 PM

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Mudah dan cepat, itu pengalaman dikongsikan anggota pasukan keselamatan hari ini yang mengisi petrol menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lt Madya Ahmad Azhari Mohd Yazid, 27, berkata urusan mengisi minyak kenderaan mudah dan tidak memakan masa yang lama, selain petugas stesen minyak juga bersedia membantu bagi memastikan kelancaran.

"Kita hanya perlu masukkan kad pengenalan pada mesin di pam minyak dan kita dapat harga subsidi,” katanya ketika ditemui Bernama di sebuah stesen minyak di Taman Setiawangsa di sini.

Ahmad Azhari yang bertugas di Markas Tentera Laut di sini berkata beliau dapat berjimat kira-kira RM100 sebulan bagi perbelanjaan petrol yang boleh digunakan untuk perbelanjaan lain.

Koperal Hilmi Azlan, 29, dari Bahagian Perkhidmatan Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkata dia tidak mengambil masa lama untuk mengisi minyak motosikal menerusi kaedah yang telah ditetapkan.

Kuota sebanyak 300 liter sebulan untuk rakyat Malaysia yang layak, katanya amat mencukupi untuk kegunaan peribadi.

“Selain membantu mengurangkan kos sara hidup, program ini juga dapat pastikan hanya rakyat Malaysia menikmati subsidi dan tidak bocor ke rakyat asing," katanya.

Lans Koperal Ahmad Yusri Yusup yang bertugas di Unit Rondaan Bermotosikal, Balai Polis Taman Tun Dr Ismail berkata inisiatif berkenaan banyak memberikan penjimatan kepadanya yang kerap mengisi minyak motosikal bagi berulang-alik dari rumah ke tempat kerja.

Inisiatif BUDI95 mula dilaksanakan tengah malam tadi, dengan kira-kira 300,000 anggota tentera dan polis menjadi kumpulan peringkat pertama menikmati subsidi petrol RON95 yang ditetapkan pada harga RM1.99 seliter berbanding pasaran semasa RM2.05 seliter.

Seorang lagi anggota ATM, Lans Koperal Mohd Furqhan Mohd Raffiee, 29, berkata proses mendapatkan subsidi petrol amat mudah dan berbeza daripada kebimbangan awalnya bahawa ia mungkin rumit.

“Proses BUDI95 ini senang sahaja, bayaran minyak seperti biasa, cuma bezanya kita sahkan kad pengenalan untuk dapatkan subsidi,” katanya ketika ditemui di sebuah stesen minyak di Kem Sungai Besi.

Mohd Furqhan berkata harga RON95 pada RM1.99 seliter memberikan banyak penjimatan buatnya yang membelanjakan antara RM300 hingga RM400 sebulan untuk petrol bagi berulang-alik ke tempat kerja, selain pulang ke kampung di Kangar, Perlis untuk bertemu keluarga.

Bagi Koperal Muhammad Amirul Hakim Mohd Yusoff, 31, BUDI95 membantu keluarga yang menggunakan kenderaan setiap hari untuk ke tempat kerja.

“Kalau dulu belanja minyak agak tinggi boleh cecah RM300, sekarang boleh susun semula bajet bulanan. Setidak-tidaknya, ada ruang untuk guna duit itu bagi keperluan lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali berkata kira-kira 3,000 anggota ATM di Kem Sungai Besi bakal mendapat manfaat secara langsung menerusi inisiatif BUDI95.

Beliau menyifatkan BUDI95 sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap kos sara hidup rakyat serta tanda penghargaan tinggi kepada anggota keselamatan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan