NEW YORK, 27 Sept (Bernama-Xinhua) -- Menteri Luar Iran Seyed Abbas Araghchi pada Jumaat berkata perjanjian kerjasama negaranya dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) akan tamat sekiranya sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dikembalikan, lapor Xinhua.
Majlis Keselamatan PBB pada Jumaat gagal meluluskan satu resolusi untuk melanjutkan perjanjian nuklear Iran 2015 selama enam bulan bagi memberi ruang kepada diplomasi dan mengelakkan pengaktifan semula sekatan PBB terhadap Iran.
Britain, Perancis dan Jerman - tiga negara Eropah dalam perjanjian nuklear Iran yang dikenali secara rasmi sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) - mendakwa mereka mencetuskan mekanisme pengaktifan semula pada 28 Ogos dengan memaklumkan kepada Majlis Keselamatan mengenai “kegagalan pelaksanaan” oleh Tehran.
Mekanisme itu dijangka berkuat kuasa pada 28 Sept, selepas tamat tempoh 30 hari, sekiranya tiada tindakan lanjut oleh Majlis Keselamatan.
“Kami telah menyatakan bahawa tindakan oleh E3 (tiga negara Eropah) dan keputusan Majlis Keselamatan akan menjejaskan kerjasama Iran dengan agensi itu,” kata Araghchi kepada wartawan selepas pengundian di Majlis Keselamatan.
Iran dan IAEA mencapai persetujuan untuk menyambung kerjasama di Kaherah, Mesir, pada 9 Sept.
“Adalah sangat malang bahawa jika semuanya diaktifkan, maka perjanjian antara Iran dan agensi itu juga akan berakhir dan tidak dapat dilaksanakan,” kata Araghchi.
Dalam ucapannya kepada Majlis Keselamatan pada Jumaat, Araghchi menegaskan bahawa para pemeriksa IAEA kini berada di Iran menjalankan tugas mereka.
--BERNAMA-XINHUA
TAG: Iran, sekatan PBB, IAEA, perjanjian, pengaktifan semula
RD RD MK
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial