KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Rombakan dalaman yang sedang dilaksanakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), dijangka akan membuka ruang lebih adil dan telus bagi industri perfileman tempatan.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu, merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan, dalam membendung amalan tidak sihat yang sebelum ini dikaitkan dengan kewujudan “kartel” dalam proses permohonan dan kelulusan projek filem.
“Dari mula jejak kaki ke Kementerian Komunikasi dan menguruskan FINAS, memang berusaha untuk memecahkan mungkin bukan kartel, tapi sikap serta budaya yang ada selama ini dan proses itu berjalan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Perdana: Malaysia, Jompact! di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu di sini hari ini.
Fahmi berkata beliau belum meneliti sepenuhnya kenyataan Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) Datuk Afdlin Shauki, yang mendakwa terdapat kartel dalam industri perfilemen tanah air, namun menyatakan semangat untuk menangani isu tersebut yang juga keutamaan kementerian.
Pada Khamis lepas, sebuah portal berita melaporkan Afdlin mendakwa wujud “tangan ghaib” atau kartel yang menentukan kejayaan sesebuah filem tempatan termasuk dari aspek slot tayangan utama, promosi dan pengedaran.
Afdlin menyifatkan keadaan itu menyebabkan pembikin filem seperti berjudi dengan nasib, kerana kualiti karya tidak lagi menjadi penentu utama.
Fahmi berkata antara tindakan awal diambil termasuk mengarahkan FINAS merombak sepenuhnya keanggotaan jawatankuasa yang meneliti permohonan dalam industri filem beberapa bulan lepas, bertujuan memastikan pengagihan peluang dilakukan secara lebih saksama.
“Banyak organisasi bila mungkin personel, individu, pegawai tertentu telah terlalu lama di satu-satu kedudukan sering kali terbentuk sikap-sikap yang mungkin tidak begitu disenangi oleh industri, bukan sekadar filem, sama juga dengan pelbagai sektor lain.
“Jadi itu sebab antara lain saya telah minta beberapa bulan yang lepas supaya jawatankuasa contohnya yang meneliti permohonan itu dirombak sepenuhnya. Jadi proses pembersihan itu sebenarnya sedang berjalan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial