TAIPING, 27 Sept (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited membantu pelajar terutama daripada golongan B40 yang berdepan masalah kewangan untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Menterinya Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata bantuan itu disalurkan melalui pelbagai program termasuk inisiatif Sulung serta Tabung Yayasan Perkasa Siswa (YPS).
“...menjadi tanggungjawab kita untuk mengenal pasti maklumat berkaitan pelajar terlibat. Kita telah dan akan terus menyantuni mereka melalui program Sulung mahupun YPS, tanpa mengira kaum,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Projek MADANI POLYCC di Kampung Batu 8, Bendang Siam di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Datuk Mohd Zahari Ismail.
Program Sulung adalah inisiatif pendidikan bagi memberi peluang dan pembiayaan kepada pelajar daripada keluarga B40 yang merupakan anak pertama dalam keluarga melanjutkan pengajian di peringkat ijazah ke atas di universiti awam.
Sementara itu, Zambry berkata sebanyak RM1.2 juta diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan komuniti di Kampung Batu 8 melalui inisiatif Projek Kampung Angkat MADANI serta program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MADANI yang dikendalikan JPPKK.
Peruntukan itu merangkumi beberapa projek infrastruktur termasuk menaik taraf surau, pembinaan dewan orang ramai, dewan terbuka Sekolah Kebangsaan Bendang Siam, bilik jenazah Masjid Al-Wusqa serta gazebo rekreasi di surau sebagai tempat istirahat.
Politeknik Bagan Datuk turut menyumbangkan sebuah bot untuk kegunaan penduduk kampung.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial