KUALA NERUS, 27 Sept (Bernama) -- Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan merasmikan Pusat Tenaga Boleh Diperbaharui di Luar Pesisir (CEFORE) di Pantai Tok Jembal di sini, hasil kerjasama Petronas dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Turut berangkat Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah yang juga Canselor UMT, Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail, Tengku Sri Setia Mahkota Raja Tengku Datuk Seri Muhammad Mu’az, Tengku Puteri Utama Raja Tengku Datuk Seri Nadhirah Zahrah dan Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Datuk Seri Fatimatuz Zahra.
Mengiringi keluarga diraja ialah Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Pengerusi Petronas Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan Naib Canselor UMT Prof Dr Mohd Zamri Ibrahim.
Mohd Zamri ketika ditemui pemberita berkata lebih 100 komuniti nelayan sekitar Tok Jembal dan Kubang Badak meraih manfaat daripada CEFORE, yang merupakan model bersepadu pertama di Malaysia dengan menggabungkan tenaga angin, solar dan ombak untuk menjana elektrik.
“Semua tenaga yang dihasilkan disalurkan ke sistem storan berkapasiti 1.3 megawatt jam, cukup untuk menampung kira-kira 100 buah rumah,” katanya.
Mohd Zamri berkata sejak mula beroperasi pada Jun lepas, CEFORE berjaya membekalkan tenaga elektrik kepada mesin penjana ais berkapasiti 800 hingga 1,000 kilogram sehari bagi kegunaan nelayan menyimpan hasil tangkapan mereka.
Beliau berkata projek yang bermula pada 2023 itu membuktikan kejayaan usahasama UMT dan Petronas dalam melaksanakan inisiatif yang memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat.
Selain itu, katanya CEFORE turut membuka peluang akademik apabila UMT bakal menerima kemasukan 40 pelajar pertama bagi Program Sarjana Muda Teknologi Tenaga Boleh Diperbaharui pada Oktober ini.
“Pihak universiti berharap CEFORE dapat berkembang dalam tempoh satu atau dua tahun lagi untuk memanfaatkan lebih ramai komuniti termasuk mereka dalam industri luar pesisir,” katanya.
Sementara itu, Mohd Bakke berkata pengoperasian pusat tersebut mencerminkan komitmen Petronas terhadap pembangunan mampan demi kelestarian negara.
“Projek berwawasan ini berfungsi sebagai pembuktian konsep tenaga boleh diperbaharui campuran dan hab penyelidikan. Ia menandakan langkah besar ke arah masa depan tenaga negara, menyerlahkan komitmen Malaysia dan Terengganu terhadap inovasi serta kelestarian.
“Dengan memanfaatkan kekayaan sumber Terengganu, kami membangunkan satu daripada penyelesaian luar pesisir tenaga boleh diperbaharui secara berterusan, sekali gus memperlihatkan keupayaan Malaysia menghasilkan penyelesaian berimpak tinggi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial