SUKAN

MSN Pulihkan Reputasi LTdL, Masa Depan Kontrak Masih Menjadi Tanda Tanya

27/09/2025 12:36 PM

LANGKAWI, 27 Sept (Bernama) -- Tiga tahun lalu, penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) berdepan cabaran besar dari segi kewangan, operasi dan persepsi umum, sehingga ada yang beranggapan perlumbaan berstatus 2.ProSeries itu tidak lagi relevan dalam kalendar sukan negara.

Namun, sejak dikendalikan Majlis Sukan Negara (MSN) pada 2023, LTdL kembali bernafas dengan wajah baharu.

Perlumbaan bukan sekadar kayuhan pelumba elit dunia, sebaliknya menjadi pesta rakyat yang turut meraikan perlumbaan berbasikal terbesar di rantau ini.

Tahun ini menandakan musim ketiga dan terakhir kontrak MSN sebagai penganjur, dengan persoalan mengenai kesinambungan kerjasama itu masih belum terjawab.

Ketua Pegawai Operasi LTdL Emir Abdul Jalal berkata, sepanjang tiga tahun di bawah MSN, penganjuran menampilkan banyak pembaharuan terutama dari sudut teknikal.

Penggunaan teknologi moden seperti sistem komunikasi radio terkini dan liputan langsung melalui LiveU serta Starlink menjadikan siaran lebih lancar dan berpatutan.

“Dalam tiga tahun ini banyak perubahan berlaku. LTdL diperkaya dengan pelbagai aset, program promosi nilai tambah, pertandingan untuk rakyat, Voice of LTdL serta kayuhan santai (amateur ride),” katanya kepada Bernama.

Beliau menambah, kelebihan MSN adalah sifatnya yang tidak berorientasikan keuntungan, sekali gus memastikan setiap sen dana kerajaan dan penajaan dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan mutu penganjuran.

Malah, MSN juga berjaya menepis persepsi negatif LTdL yang sebelum ini terpalit isu teknikal, kelewatan bayaran dan masalah penganjuran yang menjejaskan reputasi perlumbaan yang pernah melahirkan ramai bintang dunia.

“Apa pun jumlah kewangan yang kita dapat, sama ada daripada geran kerajaan atau penaja, semuanya digunakan untuk menjadikan perlumbaan lebih menarik.

“Kalau ada isu dari tahun-tahun sebelumnya, MSN tampil sebagai problem solver dengan solusi baharu. Jadi, tanggapan yang tidak relevan terhadap LTdL kini semakin pudar,” katanya.

Selain menjadi perlumbaan berprestij, LTdL turut berperanan sebagai pemangkin ekonomi.

Menurut Emir, limpahan ekonomi jauh mengatasi kos yang ditanggung kerajaan.

“Contohnya pada 2024, kerajaan menyalurkan RM12 juta dan kita berjaya memperoleh penajaan RM12 juta juga, tetapi limpahan ekonomi kepada rakyat mencecah kira-kira RM24 juta,” katanya.

“Impak itu dirasai melalui peluang kontrak kepada syarikat tempatan, tempahan hotel, perniagaan dan sektor perkhidmatan lain,” tambahnya.

Walaupun kejayaan penganjuran tiga tahun terakhir tidak dinafikan, persoalan besar kini ialah masa depan kontrak penganjuran LTdL.

MSN dilihat berjaya memulihkan reputasi perlumbaan itu, namun setakat ini belum ada kepastian sama ada mandat akan disambung atau dikembalikan semula kepada pihak swasta.

Apa juga keputusan kelak, transformasi LTdL di bawah MSN jelas telah mengembalikan semangat perlumbaan berprestij ini.

Lebih penting, ia membuktikan LTdL masih relevan — bukan sahaja sebagai acara sukan antarabangsa, tetapi juga sebagai penggerak ekonomi dan penyatu rakyat Malaysia di jalan raya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan