AM

Perintah Khidmat Masyarakat Berkuat Kuasa Januari 2026 - Nga

27/09/2025 12:18 PM

PORT DICKSON, 27 Sept (Bernama) -- Perintah Khidmat Masyarakat tidak melebihi 12 jam dalam tempoh enam bulan terhadap pesalah bagi kes pembuangan sampah kecil akan berkuat kuasa mulai 1 Jan tahun depan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata usaha itu bertujuan mendidik dan memberi keinsafan agar mereka lebih peka terhadap kebersihan persekitaran, di samping mencegah kesalahan berulang serta mengurangkan risiko pencemaran dan penyakit bawaan vektor seperti tikus, lalat dan nyamuk.

Nga berkata pelaksanaan perintah tersebut bergantung kepada keputusan Mahkamah Majistret sama ada dilakukan dalam sehari atau dibahagikan kepada beberapa sesi mengikut tempoh jam.

"Sesiapa membuang sampah dari kereta, membuang puntung rokok, tisu, plastik, tin minuman atau pembungkus makanan di tempat  awam akan didenda memakai jaket khas serta mengutip sampah kecil di tempat awam, mencuci longkang serta mencuci tandas awam selama tempoh tersebut.

"Pendekatan ini bukan sahaja bersifat korektif malah membawa nilai insaniah yang tinggi dengan mendedahkan pesalah secara langsung kepada kesan perbuatan mereka terhadap alam sekitar," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Hari Cuci Malaysia (HCM) Peringkat Kebangsaan sempena World Clean-up Day 2025.

Mengulas lanjut, Nga berkata Korea Selatan, Sweden, Singapura dan Jepun, antara negara yang berjaya melaksanakan pendekatan serupa sekali gus membuktikan keberkesanannya dalam mendidik rakyat, menunjukkan rakyat Malaysia juga mampu mempraktikkan dengan lebih baik.

Media sebelum ini melaporkan Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025, RUU Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan) 2025 serta RUU Kerajaan Tempatan (Pindaan) 2025.

Dalam pada itu, beliau berkata lebih 100,000 peserta terlibat dalam gotong-royong yang diadakan serentak di seluruh negara bersempena program hari ini yang turut menyasarkan pengumpulan minyak masak terpakai terbanyak, sekurang-kurangnya 3,000 kilogram sehari dalam usaha mencipta dua rekod baharu Malaysia Book of Records (MBOR).

Nga berkata objektif program tersebut antara lain untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai kebersihan, kitar semula dan penjagaan alam sekitar,  menggalakkan penyertaan menyeluruh merangkumi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO), komuniti, institusi pendidikan dan individu. 

Beliau berkata HCM bukan sekadar inisiatif pembersihan, sebaliknya menjadi simbol nilai teras Malaysia MADANI yang menekan aspek kemampanan, kesejahteraan rakyat dan perpaduan masyarakat majmuk.

“HCM merupakan inisiatif tahunan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), dengan menetapkan Sabtu terakhir September setiap tahun sebagai Hari Cuci Malaysia peringkat kebangsaan dan menjadikan ia agenda tetap negara,” katanya 

Dalam pada itu, Nga turut memaklumkan KPKT dipilih oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai pemenang anugerah Global Zero Waste Foundation United Nations yang merupakan satu pengiktirafan kepada negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan