KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan penglibatan lebih 100,000 peserta dengan catatan dua rekod baharu dalam Malaysia Book of Record sempena Hari Cuci Malaysia (HCM) 2025, Sabtu ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata selain mengatasi rekod terdahulu dengan menarik lebih 58,000 penyertaan dalam gotong royong serentak seluruh Malaysia, pihaknya turut menyasarkan kutipan sekurang-kurangnya 3,000 kilogram (kg) minyak masak terpakai dalam tempoh sehari.
Beliau berkata sambutan peringkat kebangsaan edisi kali ini berlangsung di Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson, Negeri Sembilan, diikuti penganjuran serentak di pelbagai lokasi seluruh negara pada hari sama.
“Jemaah Menteri sebulat suara setuju supaya HCM diangkat sebagai program nasional dengan semua agensi, jabatan, syarikat berkaitan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak sekolah akan terlibat menjayakan kempen ini menerusi pendekatan keseluruhan negara,” katanya pada sidang media dan majlis prapelancaran HCM 2025 di sini hari ini.
Nga berkata inisiatif itu bukan sahaja memperkukuh kesedaran sivik rakyat mengenai kepentingan kebersihan awam malah menyokong usaha Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Beliau berkata kejayaan penganjuran kali ini akan memberi impak besar terhadap imej Malaysia di peringkat global terutama menjelang sidang kemuncak ASEAN di ibu negara bulan depan yang turut menghimpunkan pemimpin dunia.
“Oleh itu, ia menjadi tanggungjawab setiap warganegara Malaysia untuk bersama-sama menjaga kebersihan, memastikan sampah itu ada tempatnya dan bukan dibuang ke longkang yang akhirnya mengakibatkan banjir kilat,” katanya.
Pada penganjuran sulung HCM tahun lepas, KPKT berjaya mencatatkan tiga rekod Malaysia Book of Records iaitu penyertaan gotong-royong serentak terbesar (58,007 peserta), kutipan sisa pepejal terberat (4,645.50 tan metrik) dan tempoh gotong-royong paling lama iaitu 12 jam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial