MEDAN, 26 Sept (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini dianugerahkan gelar Doktor Kehormatan (Doktor Honoris Causa) oleh Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU) di sini.
Anugerah itu disampaikan Rektor UMSU Prof Dr Agussani sempena Sesi Penganugerahan Gelar Doktor Kehormatan dan Penghargaan daripada Pimpinan Pusat Muhammadiyah.
Selain anugerah akademik itu, baginda turut menerima Anugerah Bintang Tertinggi Muhammadiyah (Mitra Lestari Muhammadiyah Internasional) daripada Ketua Umum Pimpinan Pusat Muhammadiyah Prof Dr H Haedar Nashir.
Kedua-dua pengiktirafan itu diberikan atas sumbangan besar baginda dalam memperkukuh kerjasama pendidikan, dakwah, kemasyarakatan serta hubungan persaudaraan antarabangsa.
Dalam titah ucapannya, Tuanku Syed Faizuddin menzahirkan penghargaan dan menyifatkan penganugerahan berkenaan bukan sekadar pengiktirafan peribadi, sebaliknya hasil usaha bersama pelbagai institusi di Perlis.
“Pengiktirafan ini turut merangkumi peranan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Yayasan Tuanku Syed Putra, Yayasan Tuanku Fauziah, Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE) dan lain-lain dalam mengangkat agenda pendidikan serta pembangunan insan,” titah baginda.
Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berangkat pada majlis berkenaan. Hadir sama, Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli dan Pengerusi FCoEE Profesor Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin.
Baginda juga merakamkan tahniah kepada UMSU atas pencapaian sebagai universiti Islam terbaik dunia menurut 4ICU UniRank 2025, sambil menekankan pendidikan sebagai kunci ketamadunan dan asas melahirkan generasi berilmu serta berakhlak mulia.
Majlis penganugerahan itu adalah sebahagian daripada agenda Ekspedisi Ilmu FCoEE–MAIPs yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam di sini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial