KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Shandong, wilayah pertanian terkemuka China, hari ini membuat kemunculan pertama di Malaysia menerusi jenama “Remarkable Shandong”, yang menghimpunkan syarikat terkemuka dan produk premium dari 16 bandar di wilayah itu di Ekspo Perdagangan Pertanian "Remarkable Shandong (Malaysia) 2025” di sini.
Dalam kenyataan hari ini, jenama berkenaan memaklumkan ekspo berkenaan menarik penyertaan daripada agensi kerajaan, persatuan perdagangan serta pembeli dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan negara lain.
Ekspo itu menonjolkan kekuatan pertanian Shandong, di samping menyokong keutamaan Malaysia dalam keterjaminan makanan, kepelbagaian import, dan pertukaran teknologi, menjadikannya sebagai platform jangka panjang untuk pertumbuhan dan kerjasama bersama.
“Selaku wilayah pertanian terkemuka di China, Shandong telah merekodkan nilai pengeluaran berjumlah RMB1.28 trilion (kira-kira RM755 bilion) pada 2024, dengan eksport bernilai RMB164.8 bilion ke lebih 170 negara dan wilayah.
“Bawang putih, bawang merah dan halia, hinggalah buah-buahan dan sayur-sayuran segar dari Shandong telah lama menjadi pilihan pengguna Malaysia kerana kualiti dan kebiasaan,” menurut kenyataan itu.
Pada majlis perasmian, syarikat-syarikat dari Shandong dan Malaysia menandatangani beberapa perjanjian kerjasama strategik dalam bidang bijirin dan minyak, makanan haiwan peliharaan, rantaian bekalan serta teknologi pertanian.
Syarikat berkenaan antaranya Goldage Harvest Sdn Bhd dengan Tengzhou Jiahe Grain serta Oil Co Ltd, BS Pet Products Sdn Bhd dengan Shandong Huiju Pet Food Co Ltd, Shandong Provincial Cooperation Chongqing Cadre Management Group dengan Frespro Sdn Bhd / D’Fresh Sdn Bhd, serta Shandong Ledao Agricultural Technology Co Ltd dengan Hai-O Group DJM Sdn Bhd dan IDG International Development Group Sdn Bhd.
“Pemeteraian berkenaan mengeratkan lagi kerjasama dalam sektor khusus, di samping memperluas teknologi pertanian dan rantaian bekalan merentasi sempadan. Ini akan meningkatkan lagi kestabilan dan persaingan produk, serta mencipta peluang baharu untuk Malaysia dan ASEAN,” menurut Remarkable Shandong.
Hadir pada majlis itu, Pengerusi Halal Corporation Development (HDC) Datuk Azhari Shaari, yang turut menyaksikan kejayaan penting berkenaan dalam kerjasama pertanian China-Malaysia.
Pemeriksa Tahap Kedua Jabatan Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar Wilayah Shandong Liu Chengxu berkata ekspo berkenaan adalah platform untuk pertukaran, inovasi dan persahabatan, selain memperdalam kerjasama dalam perdagangan, teknologi serta pertanian mampan untuk manfaat bersama.
“Shandong yang dikenali sebagai 'Gedung Bijirin dan Bakul Sayur China,' bukan sahaja membawakan produk premium dan teknologi canggih, tetapi juga merintis kemungkinan pertanian moden," katanya dalam kenyataan sama.
Sementara itu, Presiden Persatuan Penanam Sayuran Malaysia Lim Ser Kwee berkata China dan Malaysia saling melengkapi dalam bidang pertanian dengan Shandong sebagai wilayah pertanian penting manakala Malaysia sebagai pasaran ASEAN yang pesat berkembang.
“Barangan eksport China seperti pucuk bawang putih, akar teratai dan produk diproses amat diterima baik berdasarkan kualiti dan persaingannya. Ekspo ini menawarkan platform yang amat berguna bagi meluaskan lagi kerjasama dalam perdagangan, teknologi dan rantaian bekalan untuk manfaat bersama,” katanya.
Ekspo itu menyediakan pameran, jaringan dan kerjasama dengan acara utama termasuk pelancaran produk premium dan memperkenalkan tawaran pertanian utama serta inovatif Shandong.
Selain itu, sesi padanan perolehan satu-ke-satu (menghubungkan pengimport Malaysia dengan pembekal Shandong) serta Forum Pertanian Malaysia–Shandong yang menghimpunkan penggubal dasar, pemimpin industri dan pakar bagi membincangkan keterjaminan makanan, kerjasama teknologi dan hubungan serantau.
Ruang pameran dibahagikan kepada lima kategori utama iaitu buah-buahan dan sayur-sayuran, bijirin dan barangan kering, daging dan produk akuakultur, makanan siap serta teknologi pertanian.
Dengan sokongan daripada Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), ekspo dua hari bermula semalam itu dianjurkan oleh Guangzhou YIWU International Exhibition Co Ltd.
Ekspo berkenaan dianjurkan bersama Persatuan Persahabatan Luar Negara Shandong dan Majlis Perdagangan Pertanian Shandong, dengan penganjuran bersama daripada Persatuan Shandong Macau, Remarkable Shandong (Hengqin) Global Branding Centre, Shandong Agriculture Group Co Ltd, Dewan Perniagaan Malaysia-Wilayah Shandong serta Dewan Perniagaan Malaysia-Wilayah Shandong (Qilu).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial