AM

Melaka Terus Rangka Dasar Dan Inisiatif Inklusif Untuk Perkasakan Sektor Pelancongan

26/09/2025 02:03 PM

MELAKA, 26 Sept (Bernama) -- Melaka akan terus merangka dasar dan inisiatif inklusif bagi memastikan negeri itu kekal relevan selain kompetitif dalam sektor pelancongan di peringkat serantau serta antarabangsa. 

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ia berikutan pelbagai inisiatif strategik yang diperkenal sebelum ini menjadi indikator meyakinkan buat penggiat industri untuk terus menyumbang kepada pembangunan sektor pelancongan di Melaka, yang berjaya menarik kehadiran lebih 11  juta pengunjung dengan kutipan hasil mencecah RM12.05 bilion setakat Ogos lepas. 

"Kita tidak mahu Melaka sekadar menjadi penyumbang kecil dalam agenda pelancongan negara dan kerana itu, penganjuran Visit Malaysia Travel Meet (VMTM) 2025 selama tiga hari ini akan menjadi platform strategik menghimpunkan lebih 400 penggiat industri pelancongan dari seluruh negara di bawah satu bumbung. 

"Saya yakin ia akan menjadi jambatan untuk memperluas rangkaian antrabangsa, merintis peluang pelaburan baharu serta ruang kolaborasi yang mampu melonjakkan industri pelancongan negara kita ke tahap yang lebih tinggi," katanya pada sidang media selepas merasmikan VMTM 2025 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka Ayer Keroh hari ini. 

Hadir sama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing serta Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Manoharan Periasamy.

Ab Rauf berkata limpahan hasil daripada penganjuran VMTM 2025 juga akan mengalir ke segenap lapisan masyarakat termasuk perusahaan kecil dan komuniti serta peneraju utama industri pelancongan. 

"Jadi, penganjuran VMTM 2025 yang disertakan bersama pelbagai inisiatif yang dilaksana akan memberi kelainan serta peluang kepada rakyat khususnya keluarga B40 untuk menikmati pusat pelancongan dengan harga menarik," katanya. 

Penganjuran VMTM yang bermula hari ini bersempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia dan Persidangan Pelancongan Sedunia merupakan pameran bagi memperkasakan inisiatif berskala besar untuk mempromosikan pelancongan domestik. 

Ia menawarkan dua segmen utama iaitu sesi perniagaan ke perniagaan yang melibatkan penggiat industri dan syarikat korporat serta sesi perniagaan kepada pengguna, yang terbuka kepada orang ramai. 

Seramai 180 pempamer terlibat dengan penawaran pelbagai pakej pelancongan eksklusif merangkumi sukan air alam semula jadi, taman tema dan pengalaman budaya dengan harga istimewa di samping aktiviti interaktif kraf, seni budaya serta makanan warisan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan