AM

Pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 Oleh PM Anwar Malam Esok

26/09/2025 09:26 AM

MELAKA, 26 Sept (Bernama) -- Bandaraya Melaka akan menjadi tumpuan bukan sahaja rakyat tempatan malah masyarakat antarabangsa dengan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Encore Melaka, Klebang, malam esok. 

Acara gilang-gemilang itu bukan sekadar pelancaran, tetapi merupakan kemuncak kepada sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula esok, seterusnya mengukuhkan nama Malaysia di pentas pelancongan global.

Bertemakan "Malaysia Truly Asia" dan "Surreal Experiences", TMM2026 bertujuan membawa dunia meneroka jiwa Malaysia yang sebenar menerusi keunikan budaya serta keindahan alam semula jadi.

Berteraskan pengalaman budaya unik, TMM2026 menekankan kepelbagaian budaya dan warisan yang menjadikan Malaysia destinasi unik dan harmoni serta menonjolkan keindahan semula jadi serta kepelbagaian ekosistem.

Lebih 150 perwakilan dan delegasi daripada Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) dijangka menghadiri majlis tersebut.

Bagi meriahkan lagi majlis bertaraf dunia itu, kerajaan Melaka dengan kerjasama erat UNWTO dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) telah menyusun pelbagai program.

Antaranya Pesta Layang-Layang Antarabangsa, persembahan zapin dan persembahan warisan lain oleh 3,000 peserta serta Pesta Konda Kondi Melaka 2025.

Selain itu, Karnival Usahawan Melaka 2025 turut diadakan, menghimpunkan lebih 60 usahawan tempatan selain memperkenalkan sesi padanan perniagaan dengan sasaran transaksi bernilai RM10 juta.

Menerusi penganjuran WTC 2025 dan WTD 2025 bertemakan ‘Pelancongan dan Transformasi Mampan’ itu, kerajaan negeri menyasarkan untuk mencipta nama dalam Malaysia Book of Records (MBR) menerusi dua kategori utama iaitu Gabungan Persembahan Zapin Serentak Teramai Dalam Satu Acara di Malaysia dan Pertandingan Konda Kondi Pertama di Malaysia.

Turut berlangsung pameran eksklusif ‘Pelayaran Bersejarah Wira Laut Dunia: Enrique de Malacca’ yang mengangkat kisah anak tempatan menjadi individu Asia pertama mengelilingi dunia bersama Ferdinand Magellan pada abad ke-16.

Antara bahan pameran eksklusif yang dipamerkan termasuk wasiat Ferdinand Magellan (1519) yang mencatatkan nama Enrique sebagai pemuda Melaka di kapal Trinidad dan Daftar Armada Maluku ‘Rol de la Armada Magellan 1519’ yang mengiktiraf Enrique sebagai jurubahasa rasmi Magellan.

Malam kemuncak perasmian TMM2026 akan dimeriahkan dengan persembahan istimewa antaranya daripada Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Misha Omar selain pelbagai acara menarik termasuk formasi 1,000 dron menghiasi langit Klebang.

Bagi memudahkan orang ramai, tiga bas ulang-alik percuma disediakan meliputi lokasi parkir utama di sekitar bandar antaranya Dataran Klebang, Pulau Melaka, kawasan lapang berhampiran The Seal, bahu jalan sepanjang Eye On Malaysia dan Taman Kota Shah Bandar atau Taman Kota Laksamana Jaya.

Selain itu, lebih 600 anggota polis akan ditugaskan bagi memastikan semua acara berjalan lancar dan selamat.

Penganjuran WTD 2025 dan WTC 2025 dijangka menjadi pemangkin besar kepada ekonomi pelancongan Melaka dengan sasaran untuk menarik 16.5 juta pelancong dan unjuran pendapatan RM23.48 bilion tahun ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan