SUKAN

Jurulatih JDT Puji Karakter Pasukan, Hatrik Bergson

25/09/2025 09:42 PM

ISKANDAR PUTERI, Sept 25 (Bernama) -- Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Xisco Muñoz memuji konsistensi dan karakter pemainnya selepas Harimau Selatan bangkit pada separuh masa kedua untuk menumpaskan Bangkok United FC 4-0 dalam pertembungan Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN 2025/2026 di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.

Muñoz mengakui separuh masa pertama merupakan tempoh ujian kerana kedua-dua pasukan terikat 0-0 dan Bangkok United mengasak kuat menerusi sayap serangan mereka namun katanya JDT menyusun semula strategi dan tampil lebih tenang selepas rehat.

"Pada separuh masa pertama kami perlu memahami lawan. Kadang-kadang bola sepak memang begitu. Tetapi apabila kami menemui penyelesaian, saya sangat gembira kerana pasukan menghasilkan prestasi yang hebat dengan tahap komitmen sangat tinggi,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Penyerang Brazil, Bergson da Silva menjadi pemain JDT yang diraikan malam ini apabila melakukan hatrik dengan jaringan pada minit ke-45, 72 dan 91, manakala Joe Figuredo menambah satu lagi gol pada minit ke-51.

Kemenangan itu meletakkan JDT di tangga teratas Kumpulan B dengan enam mata daripada dua perlawanan sebelum bertandang ke Phnom Penh untuk menentang PKR Svay Rieng FC di Stadium Nasional Morodok Techno pada 4 Dis ini.

Muñoz memuji sumbangan Bergson dan menyifatkan penyerang itu sebagai 'big force' atau kekuatan besar kepada pasukan.

"Bergson menjaringkan gol, tetapi saya tahu dia boleh memberi kami lebih banyak lagi. Dia bekerja keras setiap hari dan memiliki nilai yang sesuai untuk pasukan. Dia bukan sahaja penjaring gol tetapi juga rakan kongsi yang hebat untuk rakan sepasukannya," katanya.

Jurulatih dari Sepanyol itu juga memuji pemain tengah Antonio atas persembahannya yang menyeluruh, menyatakan pengalaman dan keupayaannya untuk mengimbangi serangan dan pertahanan memberikan kestabilan sepanjang perlawanan.

Sementara itu, Bergson berkata kemenangan adalah milik pasukan kerana kesemua mereka memberikan kerjasama yang baik dalam perlawanan itu.

"Bagi saya ia bukan mengenai berita saya menjaringkan gol atau tidak menjaringkan gol. Fikiran pertama saya di atas padang adalah untuk membantu rakan sepasukan saya. Sama ada saya menjaringkan tiga gol atau tiada (gol), tetapan minda saya sentiasa sama, untuk terus membantu pasukan," katanya.

Ketua jurulatih Bangkok United, Totchtawan Sripan mengakui pasukannya hilang kawalan setelah melepaskan gol pertama.

"Sebaik sahaja kami memulakan separuh masa kedua, kami bolos dan gambaran keseluruhan berubah. Mentaliti, kecergasan dan keyakinan pemain adalah faktor, tetapi kami harus mengakui JDT lebih unggul," katanya.

Beliau berkata asakan bertubi-tubi JDT menghukum kesilapan pasukannya namun berjanji untuk bangkit.

Kami masih mempunyai tiga lagi perlawanan sebelum rehat. Dengan lima pertandingan dalam satu musim ia adalah jadual yang berat, tetapi kami akan cuba yang terbaik untuk menguruskannya," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan