DUNIA

Interpol Perkukuh Tindakan Terhadap Produk Kosmetik, Ubat Tiruan Di Asia Tenggara

25/09/2025 07:31 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 25 Sept (Bernama) -- Pengawal selia kesihatan Asia Tenggara sedang melancarkan kempen besar-besaran untuk mengetatkan kawalan terhadap peningkatan produk kosmetik dan ubat-ubatan tiruan yang mengancam kesihatan pengguna serta melanggar hak harta intelek.

Pemeriksa ubat dari rantau Indochina hingga Indonesia sedang mempergiat usaha mengekang pengedaran ubat-ubatan dan produk penjagaan kecantikan tiruan yang mudah menembusi pasaran mereka.

Ancaman yang semakin meningkat ini menimbulkan risiko terhadap keselamatan serantau dan membimbangkan pihak berkuasa kerana penipuan pengguna menjejaskan kesihatan awam.

Semasa Persidangan Serantau Asia Interpol di Singapura dari 18 hingga 19 Sept, agensi itu berikrar untuk memperkukuh keselamatan serantau dengan menangani pelbagai jenayah terancang termasuk barangan haram.

“Persidangan ini sekali lagi menunjukkan kepimpinan Asia yang mantap bukan sahaja dalam menjamin keselamatan rantau ini tetapi juga memacu keselamatan global ke hadapan.

“Bersama-sama, kita sedang membentuk masa depan di mana kerjasama polis antarabangsa kekal sebagai asas kestabilan dan keamanan,” kata Perwakilan Jawatankuasa Eksekutif Interpol untuk Asia yang juga Pengerusi persidangan, Ali Mohammed Al-Ali, menurut laman sesawang agensi itu baru-baru ini.

Produk tiruan termasuk krim pemutih kulit, produk farmaseutikal substandard dan makanan tambahan kini mudah ditemui di platform beli-belah dalam talian yang sering terlepas daripada pemantauan pihak berkuasa.

Rampasan produk kosmetik tanpa kelulusan bernilai RM1.1 bilion (US$250,000) di Bangkok pada 19 Sept hanyalah sebahagian kecil daripada masalah sebenar, menurut agensi yang memantau perdagangan haram itu.

Menurut laporan media, implan silikon dagu, hidung silikon dan ubat-ubatan tidak berdaftar turut dirampas dalam satu operasi di Bangkok.

Di Ho Chi Minh City, pihak berkuasa Vietnam merampas 260,000 produk tiruan bernilai RM2.5 bilion (US$600,000) dari awal 2024 hingga pertengahan 2025.

Sementara itu, di Laos, pihak berkuasa memusnahkan produk kosmetik tamat tempoh, tiruan dan tidak berkualiti termasuk krim, losen, sabun dan bedak pada Mei lalu.

Di Indonesia pula, Badan Pengawas Ubat dan Makanan (BPOM) berjaya menumpaskan perdagangan kosmetik haram bernilai hampir RM8 juta (US$2 juta) pada Februari, yang kebanyakannya dijual oleh pengedar dalam talian, menurut laporan Jakarta Post.

Produk kosmetik seperti krim pemutih kulit sangat popular dalam kalangan wanita muda namun mengandungi tahap merkuri yang tinggi, menurut amaran pegawai kesihatan.

Sindiket tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan daripada pemasaran media sosial yang meluas dan sistem pembayaran digital yang mudah untuk membanjiri pasaran baharu muncul dengan produk dihantar terus ke depan pintu pelanggan.

Interpol menjalankan operasi di 90 negara yang membawa kepada rampasan 50.4 juta dos ubat-ubatan farmaseutikal haram bernilai RM274 juta (US$65 juta).

Kebanyakan negara Asia Tenggara menyertai “Operation Pangea XVII” dari Dis 2024 hingga Mei 2025, yang menyaksikan 769 suspek ditahan dan 123 kumpulan jenayah di seluruh dunia dilumpuhkan.

Pasaran barangan tiruan telah berkembang menjadi industri bernilai berbilion dolar, dengan organisasi jenayah menghasilkan sebahagian besar produk pengguna bagi mengaut keuntungan daripada pasaran yang semakin pesat berkembang.”

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan ubat-ubatan tiruan bernilai RM345 bilion (US$83 bilion) dijual di pasaran setiap tahun, dan satu daripada 10 produk perubatan yang beredar di negara-negara membangun adalah substandard atau tiruan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan