EKONOMI

Kilang Lighthouse Midea Dipacu AI Menerajui Pengeluaran Hijau Di Asia Pasifik

22/09/2025 01:44 PM

Oleh Ng Che Yean

CHONGQING, 22 Sept (Bernama) -- Kilang Chiller Midea di Chongqing, iaitu kilang “lighthouse” sistem pendingin pertama di dunia yang beroperasi sepenuhnya menggunakan kecerdasan buatan (AI), kini menerajui pengeluaran pintar dan hijau di rantau Asia Pasifik serta membantu rakan global mencapai transformasi rendah karbon.

Diiktiraf oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) dan McKinsey pada 2024, kilang itu telah menjadi model inovasi global dengan menggabungkan AI, sistem digital twin dan amalan sifar karbon bagi meningkatkan kecekapan, di samping mengurangkan kos serta pelepasan karbon.

Pengurus Besar Syarikat Produk Chiller MBT Sam Luo, berkata kilang lighthouse mewakili tahap tertinggi pembangunan industri sekali gus menjadi penanda aras global dalam pengeluaran pintar.

“Usaha inovasi kami meliputi keseluruhan proses – daripada penglibatan pelanggan hingga ke pengeluaran, sokongan selepas jualan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembuatan pintar serta aplikasi digital.

“Hanya selepas mencapai inovasi dalam semua bidang tersebut barulah kami layak menerima pensijilan Kilang Lighthouse,” katanya.

 

INOVASI HIJAU DAN TRANSFORMASI DIGITAL

 

Sejak ditubuhkan pada 2004, kilang sistem pendingin Chongqing secara konsisten berjaya mengatasi halangan teknikal melalui inovasi berterusan, sekali gus kekal berada dalam kelompok teratas industri penyaman udara pusat selama 12 tahun berturut-turut.

Menerajui transformasi hijau dan digital sejak 2022, kilang itu kini menetapkan penanda aras baharu dalam pengeluaran pintar.

“Saya dapati pelaburan tambahan sebanyak RMB150 juta bagi memacu transformasi ini amat berbaloi kerana ia berjaya menggandakan pertumbuhan perniagaan tanpa menambah bilangan pekerja,” kata Luo kepada delegasi lawatan media Asia Pasifik yang turut disertai Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Beliau menambah bahawa pengeluaran melibatkan ketepatan pada tahap mikron – iaitu sehingga 1/60 daripada ketebalan sehelai rambut manusia – dan dengan penggabungan AI, automasi serta amalan mesra alam, pengeluaran pintar dan hijau kini menjadi kelebihan daya saing utama.

Sejak itu, Midea telah menguasai bahagian pasaran terbesar bagi sistem pendingin di China, dengan jualan chiller emparan magnet meningkat sebanyak 150 peratus pada separuh pertama tahun ini meskipun pasaran keseluruhan merosot 15 peratus.

 

AI + PENGELUARAN SIFAR KARBON: MODEL UNTUK ASIA PASIFIK

 

Luo berkata kilang itu juga mencerminkan tahap tertinggi pengeluaran hijau di China. Ia mencapai operasi sifar karbon melalui penggunaan tenaga boleh diperbaharui, bahan mesra alam serta sistem berkecekapan tinggi, sekali gus menjana 40 peratus keperluan elektriknya dan memperoleh pensijilan karbon neutral PAS 2060.

Teras operasinya ialah sistem “AI + digital twin” yang menghubungkan R&D, pengeluaran dan perkhidmatan selepas jualan, manakala penaiktarafan pintar di bengkel telah meningkatkan kecekapan serta menurunkan kos.

Rombongan media turut melawat projek Sungai Yangtze di mana MBT melaksanakan penyelesaian tenaga bersih dan kawalan pintar untuk mencapai penggunaan tenaga boleh diperbaharui sepenuhnya, menonjolkan bagaimana teknologinya menyokong pembangunan bandar hijau.

 

PENYESUAIAN DI PERINGKAT TEMPATAN DAN PEMINDAHAN TEKNOLOGI

 

Sementara itu, Pengurus Besar MBT Asia Pasifik Taufiq Lee berkata Midea mempercepat pengembangan pengeluaran pintarnya di Asia Tenggara.

“Cabaran seperti pendigitalan rantaian bekalan dan kekurangan tenaga mahir masih wujud, tetapi pengalaman kami dalam penjadualan digital serta kawalan kualiti berasaskan robotik di Thailand dan pasaran lain menjadi asas untuk dikembangkan secara tempatan,” katanya.

Beliau menambah bahawa Asia Tenggara mempunyai potensi pertumbuhan kukuh apabila permintaan terhadap penyelesaian cekap tenaga semakin meningkat seiring dengan sokongan pasaran dan dasar.

Bagi memenuhi keperluan tempatan, Midea bekerjasama dengan majlis bangunan hijau, universiti dan institusi penyelidikan, manakala pusat R&D serta latihan di Indonesia, Vietnam dan Singapura membolehkan inovasi khusus iklim serta pembangunan bakat.

Midea juga telah memperkenalkan Magboost Apex, iaitu chiller emparan magnet generasi kedua yang menggunakan 25 peratus kurang tenaga berbanding unit konvensional, sekali gus membantu projek berskala besar di rantau ini mengurangkan kos serta pelepasan karbon.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan