EKONOMI

Sektor Semikonduktor, Farmaseutikal Dikecualikan Tarif AS Setakat Ini - Tengku Zafrul 

01/08/2025 07:08 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Eksport semikonduktor dan farmaseutikal Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) dikecualikan daripada tarif 19 peratus dikenakan oleh Washington setakat ini, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Sambil menyifatkan keputusan rundingan tarif itu sebagai saling menguntungkan untuk Malaysia dan AS, beliau berkata Washington bagaimanapun masih mengkaji undang-undang perdagangannya bagi meneliti sama ada tarif sifar peratus bagi sektor-sektor ini adalah adil.

Beliau berkata garis masa bagi semakan itu ditetapkan pada Disember 2025.

“Andaiannya (menerima semakan itu) menjelang Disember, namun mungkin juga lebih awal lagi,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

AS telah mengumumkan kadar tarif sebanyak 19 peratus ke atas eksport Malaysia ke negara itu.

“Kita melihat keputusan ini sebagai situasi yang saling menguntungkan untuk Malaysia dan AS. Ini juga mencerminkan hubungan dua hala yang kukuh antara kedua-dua negara,” katanya.

Tengku Zafrul berkata susulan rundingan itu juga, Malaysia mengenakan tarif sifar peratus ke atas 6,911 produk yang diimport dari AS.

Daripada jumlah itu, sebanyak 191 garis tarif (produk) baharu mewakili sektor pertanian manakala 1,347 daripada sektor perindustrian.

Jumlah itu adalah kira-kira 61 peratus daripada 11,260 garis tarif yang diminta oleh AS, kata beliau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan