Bangi, 25 Sept (Bernama) -- Kerajaan akan meneliti setiap permasalahan awal yang dibangkitkan rakyat berhubung pelaksanaan inisiatif subsidi petrol di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu ditegaskannya semasa mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet semalam khusus membabitkan pelaksanaan inisiatif tersebut.
Beliau berkata permasalahan awal yang dikenal pasti akan diteliti supaya mekanisme pembaharuan dapat dilakukan pihak tertentu seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Pendaftaran Negara dan Kementerian Kewangan
“Kami meneliti dan memperincikan permasalahan awal yang akan ditimbulkan ini. Jadi, kita akan membaiki sistem.
“(Ini) termasuklah mereka yang mempunyai MyKad tetapi agak lama, jadi penukaran MyKad itu telah diuruskan oleh Jabatan Pendaftaran Negara dan diberikan secara percuma untuk peringkat awal ni,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Malaysia France Institute (MFI) di sini.
Ahmad Zahid turut menyeru semua warganegara untuk memperbaharui lesen memandu bagi mendapatkan manfaat BUDI95.
“Lesen-lesen memandu yang tidak diperbaharui dalam tempoh lebih daripada tiga tahun maka mereka tidak layak. Jadi inilah ketikanya untuk mereka memperbaharui lesen berkenaan kerana terdapat satu jumlah yang agak besar (yang harus diperbaharui),” katanya.
Beliau memberi jaminan semua warganegara yang layak akan dapat menikmati subsidi petrol di bawah BUDI95.
“Jangan risau, akhirnya semua pihak akan mendapat harga yang ditetapkan itu dan saya harapkan mana-mana yang menghadapi masalah bersabar dahulu,” katanya
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin mengumumkan harga petrol RON95 ditetapkan pada RM1.99 seliter bermula 30 Sept ini bagi rakyat tempatan.
Bagi bukan warganegara, harga RON95 ditetapkan pada RM2.60 seliter bermula tarikh sama.
Mengenai lawatan kerja di UniKL hari ini, Ahmad Zahid berkata UniKL dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) boleh melaksanakan kerjasama bagi mewujudkan pengajian diploma atau ijazah dalam pengurusan bencana.
“Saya tekankan agar kerjasama dengan NADMA untuk pengurusan bencana dapat dilakukan di peringkat diploma dan ijazah.
“Ia supaya kolaborasi ini akan menjadikan Malaysia sebagai antara negara yang mempunyai kursus khas dalam bidang pengkhususan bencana,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial