AM

BUDI95: Nelayan, Pemilik Bot Tiada Lesen Memandu Boleh Buat Rayuan - PM Anwar

26/09/2025 11:15 AM

PUTRAJAYA, 26 Sept (Bernama) -- Kerajaan memberi jaminan akan meneliti dan mempertimbangkan rayuan golongan nelayan, pekebun, pemilik perahu serta bot yang menggunakan petrol RON95 bagi memastikan mereka turut menikmati manfaat inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kerajaan menyedari wujud kes tertentu nelayan kecil atau pemilik perahu menggunakan petrol RON95 seperti di Sabah, Sarawak dan Kelantan, walaupun tiada lesen memandu di bawah nama mereka.

“Nelayan dan pekebun memang ada elaun khas, selain bantuan diesel, tetapi jika ada yang benar-benar menggunakan RON95 untuk perahu atau bot, mereka boleh kemukakan rayuan.

“Saya jamin kerajaan akan bantu mana yang layak. Hal ini tidak membabitkan jumlah yang besar, jadi kita boleh pertimbangkan,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pertimbangan itu juga membabitkan mereka yang memiliki atau menggunakan set generator serta mesin rumput.

“Mesin potong rumput, set generator, kalau guna RON95, kita masih boleh bantu lagi,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, program BUDI95 sememangnya diperkenalkan demi kepentingan puluhan juta rakyat, justeru beliau mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan pihak yang cuba memburukkan pelaksanaannya.

“Kalau benar guna RON95, kita akan bantu tetapi jangan ikut naratif pembenci yang mahu gagalkan usaha ini. Apa yang penting ialah faedah besar untuk rakyat,” kata beliau.

Anwar turut membidas segelintir pihak termasuk pendakwah yang mengkritik pelaksanaan BUDI95 tanpa memahami rasional di sebalik dasar terbabit iaitu untuk manfaat puluhan juta rakyat Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan