KUCHING, 24 Sept (Bernama) -- Sukan Borneo 2025 merupakan platform penting untuk menyatukan rakyat serta memupuk perpaduan antara wilayah, negara serta provinsi yang berada di pulau Borneo.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata setelah 12 tahun tidak dianjurkan, keutamaan kali ini adalah menghidupkan kembali keceriaan dan kegembiraan penganjuran temasya tersebut.
“Fokus kita bukanlah semata-mata kepada persaingan sengit atau siapa yang muncul juara, tetapi kepada kejayaan penganjuran temasya ini tanpa masalah, di samping mengeratkan silaturahim antara wilayah yang terlibat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Sukan Borneo Kuching 2025 di Stadium Perpaduan di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata Sukan Borneo akan diadakan setiap dua tahun dan lokasi penganjuran berikutnya akan ditentukan oleh ketua-ketua kontinjen terlibat.
“Keputusan bergantung kepada wilayah, negara atau provinsi yang bersedia menjadi tuan rumah, termasuk siapa yang mereka ingin jemput dalam kalangan kepulauan Borneo,” katanya.
Ketika berucap pada majlis itu, Abdul Karim mengimbas sejarah temasya itu yang pertama kali dianjurkan pada 1954 di Brunei Darussalam sebagai pentas menyatukan atlet daripada Sarawak, Sabah dan Brunei.
“Namun, selepas edisi ke-16 pada 1970, temasya ini terhenti akibat pelbagai kekangan. Ia kemudian dihidupkan semula pada 2005 sehingga 2013, dengan penganjuran terakhir di Labuan. Hari ini, selepas 12 tahun menyepi, kita menghidupkan semula legasi ini di Kuching,” katanya.
Sukan Borneo Kuching 2025 yang bermula hari ini hingga Ahad menampilkan lima acara sukan teras iaitu olahraga, akuatik renang, badminton, boling padang dan memanah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial