AM

Puisi Medium Eratkan Hubungan Kaum, Bangsa Dan Agama - Saraswathy

21/09/2025 09:20 AM

Oleh Mohamad Harith Mohamad Nizar

IPOH, 21 Sept (Bernama) -- Puisi mampu mengeratkan hubungan antara rakyat berbilang kaum, bangsa dan agama di negara ini, selain menjadi medium menyampaikan pemikiran masyarakat, kata Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy.

Beliau berkata, puisi antara cara masyarakat menterjemahkan perpaduan dan keharmonian melalui lenggok bahasa yang memberi semangat bersatu padu, khususnya kepada generasi muda.

“Melalui persembahan puisi, kita boleh mengimbas semula sejarah serta membawa fakta kepada generasi muda supaya mereka memahami titik peluh nenek moyang kita, sekali gus menyemai semangat kenegaraan.

“Kalau kita dapat menanam semangat kenegaraan dalam hati setiap rakyat, khususnya generasi muda, ia akan mengukuhkan perpaduan antara satu sama lain,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Majlis Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SDPAHM) Peringkat Kebangsaan 2025 di sini malam tadi.

Mengulas mengenai program itu, Saraswathy berkata penganjuran sayembara puisi artistik merupakan satu reformasi dalam bidang deklamasi puisi yang dapat menarik lebih ramai anggota masyarakat, khususnya golongan muda, untuk mendekati dunia puisi.

Saraswathy berkata usaha menarik minat golongan muda terhadap puisi perlu dikaji dan dilaksanakan dengan serius.

“Dengan adanya pendedahan ini, diharapkan mereka yang masih hijau dalam kehidupan akan menumbuhkan minat terhadap bidang sastera, warisan bangsa kita. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Kementerian Perpaduan Negara sentiasa mengalu-alukan serta bersedia bekerjasama menganjurkan program seni sastera dan budaya warisan bangsa kerana penganjuran sebegitu berupaya melahirkan nilai positif, semangat patriotik serta kecintaan terhadap warisan bangsa dan negara.

“Nilai sopan santun dan budi bahasa dalam puisi serta seni budaya bangsa akan menguatkan jati diri, sekali gus mempertahankan nilai-nilai luhur dan keharmonian dalam masyarakat Malaysia MADANI,” katanya.

SDPAHM Peringkat Kebangsaan 2025 dianjurkan Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh.

Pada majlis itu, Nor Atiekah Hidayah Hussain dari Terengganu muncul pemenang Anugerah Platinum dengan membawa pulang piala pusingan Piala Seri PEMUISI Malaysia, piala iringan, wang tunai RM2,000, hadiah buku serta sijil.

Akilul Nazar Arbain dari Johor pula memenangi Anugerah Emas dengan membawa pulang piala iringan, wang tunai RM1,500, hadiah buku serta sijil, manakala Abdul Rasmin Sagal Abdul Rahman dari Negeri Sembilan meraih Anugerah Perak dengan membawa pulang piala iringan, wang tunai RM1,000, hadiah buku serta sijil.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan