EKONOMI

Amerika Syarikat Berhasrat Selaras Kepentingan Bersama Dengan ASEAN - Wakil Perdagangan

24/09/2025 06:16 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Amerika Syarikat (AS) melihat terdapat potensi besar dalam menyelaraskan kepentingannya dengan ASEAN dalam usaha mempromosikan prinsip timbal balas sistem perdagangan global, kata Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer.

Beliau berkata Washington menyambut baik kenyataan ASEAN pada April lepas yang menyatakan komitmen untuk memahami inisiatif AS itu melalui dialog dan persefahaman bersama.

Pada masa sama, semangat itu diterjemahkan dalam perbincangan yang diadakan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

“Di bawah kepimpinan Presiden Donald Trump, kami berpeluang mengadakan perbincangan yang konstruktif dalam usaha menambah baik akses pasaran masing-masing, menghapuskan halangan bukan tarif, menangani amalan perdagangan yang tidak adil serta memperkukuh kerjasama dalam aspek keselamatan ekonomi dan keselamatan negara,” katanya.

Greer berkata, sebahagian daripada rundingan tersebut telah menghasilkan beberapa perjanjian, manakala selebihnya dijangka dimuktamadkan dalam minggu dan bulan akan datang.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan dalam Rundingan AEM-USTR, yang diadakan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke-57 (AEM) hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata AS merupakan rakan dialog yang penting bagi ASEAN, dengan jumlah perdagangan antara ASEAN dan AS mencatat rekod tertinggi sebanyak US$453 bilion.

Eksport ASEAN ke AS turut melonjak sehingga US$312 bilion, naik hampir 16 peratus berbanding tahun sebelumnya, iaitu penambahan kira-kira US$42 bilion dalam tempoh setahun sahaja, menjadikan AS sebagai pasaran eksport utama rantau ini.

"Perkembangan sama dapat dilihat dari segi pelaburan, apabila pada 2024, AS merupakan sumber utama pelaburan langsung asing (FDI) ke ASEAN dengan aliran masuk melebihi US$42 bilion.

"Dan ini adalah satu pengiktirafan jelas terhadap masa depan ASEAN dan peluang yang disediakan oleh rantau kita,” kata beliau.

Tengku Zafrul berkata bersandarkan kepada asas kukuh ini, agenda Rundingan AEM-US akan membincangkan beberapa perkara seperti menyemak semula Perjanjian Rangka Kerjasama Perdagangan dan Pelaburan ASEAN-AS (TIFA) dan rangka kerja Penglibatan Ekonomi Diperkembangkan, meluluskan pelan kerja untuk tempoh 2025-2026 bagi memastikan kesinambungan dan perancangan jangka panjang, selain bertukar pandangan mengenai cabaran besar yang membentuk ekonomi dunia.

“Perbincangan ini tepat pada masanya kerana kita semua merasai perubahan dalam landskap ekonomi,  sama ada dalam rantaian bekalan, transformasi digital atau usaha global ke arah pertumbuhan yang lebih hijau dan mampan.

"Sebagai Pengerusi, saya yakin rundingan hari ini akan menetapkan hala tuju jelas bagi fasa seterusnya kerjasama ASEAN-AS,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan