EKONOMI

ASEAN + 3 Perlu Pelihara Rantaian Bekalan Yang Teratur Di Sebalik Perubahan Global

24/09/2025 06:11 PM

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- ASEAN bersama China, Jepun dan Korea Selatan (ASEAN + 3) mesti berganding bahu bagi mengekalkan serta menstabilkan rangkaian rantaian bekalan masing-masing yang canggih selain sensitif terhadap kerja yang tepat dan teratur.

Menteri Perdagangan Korea Selatan Yeo Han-Koo berkata ASEAN + 3 juga mesti menyesuaikan diri dengan perubahan dalam persekitaran perdagangan global.

Beliau menyifatkan daya tahan dan kerjasama rantaian bekalan sebagai kepentingan bersama dalam kalangan ekonomi ASEAN + 3 yang selama beberapa dekad membangunkan rangkaian rantaian bekalan global yang kompleks selain saling bergantung.

“ASEAN + 3 dihubungkan melalui pelbagai rangkaian perjanjian perdagangan,” katanya dalam ucapan pembukaan semasa sesi makan tengah hari sambil bekerja pada Konsultasi Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) + 3 ke-28 yang diadakan sempena Mesyuarat AEM ke-57 dan mesyuarat berkaitan di sini hari ini.

Beliau berkata Korea Selatan mempunyai perjanjian perdagangan bebas dua hala dengan ASEAN dan China manakala Korea Selatan dan Jepun turut dihubungkan melalui Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

“Malah, jika kita gabungkan semua ekonomi negara-negara ASEAN + 3 ini, jumlah penduduknya merangkumi kira-kira 28 peratus daripada populasi dunia, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar 27 peratus dan dari segi nilai tambah pembuatan, ia hampir merangkumi separuh daripada aktiviti pembuatan dunia,” tambahnya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan China Yan Dong dalam ucapan pembukaannya menegaskan kesediaan China untuk memperkukuh kerjasama serantau melalui kerangka ASEAN + 3 yang disifatkannya sebagai satu mekanisme matang yang sudah lama menyumbang kepada pertumbuhan mampan dan kestabilan Asia Timur.

Beliau berkata negaranya menyokong hubungan perdagangan dan pelaburan yang lebih kukuh dengan ASEAN, Jepun dan Korea Selatan.

“Kerjasama + 3 merupakan satu daripada mekanisme yang paling matang. Ia memberikan sumbangan positif kepada pembangunan mampan ASEAN sejak sekian lama,” katanya.

Yan bercakap dalam bahasa Cina dan ucapannya diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris.

Beliau juga menekankan perdagangan China dengan Jepun dan Korea Selatan mencapai US$1.1 trilion dalam lapan bulan pertama 2025 sekali gus menunjukkan peningkatan enam peratus dan merangkumi 26.8 peratus daripada jumlah perdagangan China.

“Setakat ini, China melabur lebih daripada US$7 trilion,” katanya.

Sesi makan tengah hari sambil bekerja itu dipengerusikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Sesi berkenaan turut mengumpulkan para menteri ekonomi ASEAN serta rakan sejawat mereka termasuk Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun (METI), Muto Yoji serta pegawai kanan dari Sekretariat ASEAN.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan