AM

Pulau Pinang Sasar Peningkatan Kehadiran Pelancong Jepun

24/09/2025 04:57 PM

GEORGE TOWN, 24 Sept (Bernama) -- Pasaran pelancong Jepun mempunyai potensi besar untuk Pulau Pinang, dengan kerajaan negeri meneruskan usaha meletakkan negeri sebagai destinasi pilihan pelancong negara itu. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Wong Hon Wai berkata Jepun kini berada antara 10 teratas ketibaan pasaran antarabangsa di negeri itu, dengan kehadiran 9,753 pelawat negara itu menerusi penerbangan terus antara Januari hingga Julai tahun ini. 

Wong yang mengetuai delegasi negeri ke Tokyo, Jepun bagi menjayakan jelajah promosi Not the Penang That You Know untuk mempromosikan keunikan pelancongan Pulau Pinang baru-baru ini, berkata jumlah itu meningkat 25 peratus berbanding 7,806 pelawat dalam tempoh sama pada 2024.

“Ini jelas menunjukkan minat yang kukuh dari pasaran Jepun terhadap pelancongan Pulau Pinang. Perlu ditekankan angka ini tidak termasuk pelawat yang transit melalui Kuala Lumpur atau ke Pulau Pinang menerusi jalan darat selepas tiba di Malaysia, menjadikan jumlah sebenar pelawat berpotensi jauh lebih tinggi.

“Selain itu, terdapat kira-kira 3,000 warganegara Jepun menetap atau bekerja di Pulau Pinang masa ini. Semua ini menunjukkan potensi besar pasaran Jepun terhadap sektor pelancongan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wong berkata Jepun merupakan pasaran strategik bagi pelancongan Pulau Pinang, dengan pelancong negara itu dikenali dengan kuasa perbelanjaan yang tinggi. Menurut Biro Pelancongan Jepun (JTB), purata perbelanjaan luar negara bagi setiap pelancong Jepun ke luar negara pada 2025 dianggarkan RM9,056.

Beliau berkata jumlah penduduk Jepun sekitar 123.8 juta orang termasuk 14.17 juta di Tokyo menawarkan peluang besar untuk menarik lebih ramai pelancong ke Pulau Pinang.

“Melihat kepada pelbagai hubungan antara Pulau Pinang dan Jepun dalam bidang ekonomi, pendidikan, dan kebudayaan, Jepun mempunyai pelbagai segmen pelancongan yang belum diterokai sepenuhnya,” katanya.

Wong menambah jelajah promosi Not the Penang That You Know di Tokyo merupakan acara pertama seumpamanya sejak pandemik COVID-19 dan mengukuhkan komitmen kerajaan negeri untuk meneroka pasaran Jepun serta mengetengahkan daya tarikan Pulau Pinang yang pelbagai.

Selain jelajah promosi, delegasi juga melawat ibu pejabat Japan Airlines (JAL) dengan mereka mengadakan perbincangan mendalam bagi memahami dengan lebih baik perkembangan, permintaan dan prospek laluan penerbangan terus antara Malaysia dan Jepun.

Delegasi terdiri daripada wakil Tourism Malaysia dan pemain industri pelancongan Pulau Pinang termasuk pengusaha hotel, agensi pelancongan, sekolah antarabangsa serta ejen Malaysia My Second Home.

Jepun kekal sebagai antara lapan destinasi eksport utama Pulau Pinang, dengan perdagangan mencapai RM14 bilion pada 2024 dan mencatat RM8.3 bilion dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, selain kira-kira 3,500 ekspatriat, pelabur dan pesara Jepun menjadikan Pulau Pinang rumah kedua mereka. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan