DUNIA

Bursa Malaysia Dalam Wilayah Negatif Pada Tengah Hari

24/09/2025 02:26 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia dalam wilayah negatif ketika mengakhiri sesi dagangan pagi ini disebabkan dagangan lengang dan prestasi pasaran serantau yang lebih lemah.

Pada 12.30 tengah hari, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 2.05 mata kepada 1,601.50 berbanding 1,603.55 ketika ditutup semalam.

Indeks utama itu dibuka pada 1,602.81 dan bergerak antara 1,597.80 hingga 1,602.81 sepanjang sesi dagangan pagi.

Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 483 berbanding 430 manakala 467 kaunter tidak berubah, 1,293 tidak diniagakan dan 49 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 2.39 bilion saham bernilai RM1.35 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata dagangan di Bursa Malaysia telah berubah menjadi lengang kerana ketiadaan pemangkin baharu dengan FBM KLCI ditutup tidak berubah.

"Justeru, kami menjangkakan indeks akan berada dalam dalam julat antara 1,600 hingga 1,610 hari ini," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CIMB Group turun dua sen kepada RM7.27, Tenaga Nasional merosot enam sen kepada RM13.34, Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM4.28 dan RM7.36, manakala Maybank menambah satu sen kepada RM9.83.

Bagi saham aktif, Capitaland Malaysia Trust susut 0.5 sen kepada 61 sen, Magma Group berkurangan dua sen kepada 34 sen, Advance Energy tidak berubah pada tujuh sen manakala penampilan sulung Express Powerr Solutions meningkat 23 sen dan SNS Network Technology menambah 3.5 sen kepada 68 sen.

Antara kaunter paling rugi, Nestle berkurangan 40 sen kepada RM96.20, Kuchai Development menguncup 11 sen kepada 47 sen, Allianz Malaysia berkurangan 14 sen kepada RM18.78, Sunway Construction Group turun 12 sen kepada RM6.15, manakala UMS Integration Ltd merosot 11 sen kepada RM4.64.

Kaunter paling untung menyaksikan Petronas Dagangan meningkat 32 sen kepada RM22.32, KSL naik 25 sen kepada RM3.19, Malayan Cement menambah 18 sen kepada RM6.49, Fraser & Neave Holdings menokok 14 sen kepada RM27.54 dan Crescendo Corp melonjak 10 sen kepada RM1.39.

Bagi pasaran yang lebih luas, Indeks FBM Emas susut 3.72 mata kepada 11,939.28, Indeks FBMT 100 berkurangan 9.14 mata kepada 11,677.40, Indeks FBM Emas Shariah turun 2.06 mata kepada 11,995.94,  Indeks FBM 70 menambah 12.04 mata kepada 16,813.76 manakala Indeks FBM ACE menambah 22.58 mata kepada 5,028.88.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 22.42 mata kepada 18,061.35, Indeks Perladangan susut 20.52 mata kepada 7,706.30, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.01 mata kepada 170.05, manakala Indeks Tenaga menokok 5.17 mata kepada 769.66.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan