KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) mengenakan penalti monetari pentadbiran sebanyak RM193,500 kepada Syarikat S M Ziaudeen Sdn Bhd (SSMZ) dan RM340,000 ke atas Alipay Malaysia Sdn Bhd (Alipay) kerana ketidakpatuhan terhadap kawal selia.
BNM dalam satu kenyataan berkata SSMZ tidak patuh terhadap keperluan usaha wajar pelanggan (CDD) dan usaha wajar berterusan (ODD) di bawah Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (MSBA).
Penalti itu yang dikenakan pada 28 Ogos, 2024, berkaitan dengan ketidakpatuhan terhadap seksyen 74 dan 75(1)(b) MSBA, dibaca bersama Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan.
SSMZ telah membayar penalti itu pada 28 Ogos 2025.
Selain itu, BNM juga mengenakan penalti sebanyak RM340,000 ke atas Alipay pada 19 Jun, 2025, kerana tidak mematuhi seksyen 48(1)(a) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA), juga dibaca bersama Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan.
Alipay telah membayar penalti itu pada 3 Julai 2025.
BNM berkata tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam Pendekatan Penguatkuasaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial